ADUN Rembia nafi keluar UMNO

Muhammad Jailani
Muhammad Jailani
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang menyertai UMNO pada tahun lalu menafikan akan keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, pergolakan politik yang berlaku tidak akan melunturkan semangat kebersamaan yang ada dalam Barisan Nasional (BN) walaupun sekiranya mereka tidak lagi menjadi kerajaan pada hari ini dan menjadi pembangkang.

Menurutnya, pada saat ini adalah lebih baik beliau memberi tumpuan dan perhatian untuk membantu rakyat yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

"Sekali lagi saya berpegang kepada pendirian saya akan terus bersama UMNO tidak kira apa jua keadaan sama ada kita sebagai kerajaan atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, kesilapan terbesar yang pernah dilakukan adalah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Nampak indah tapi bila kita dah masuk ke dalamnya, barulah tahu keindahan itu hanyalah sandiwara sahaja," katanya.

Jelas Muhammad Jailani, beliau turut menafikan namanya disebut-sebut akan menyertai empat wakil rakyat iaitu dua dari Barisan Nasional (BN) dan dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengadakan perjumpaan baru-baru ini.

"Saya tidak akan bersama dengan pihak yang berniat jahat menjatuhkan UMNO dan BN semata-mata untuk menubuhkan kerajaan baharu," katanya.

Artikel Berkaitan: