Penjawat awam terus galas tanggungjawab

Datuk Seri Mohd Zuki Ali
Datuk Seri Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam akan terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan persekutuan seperti biasa.

"Anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik Covid-19.

"Perkhidmatan awam komited mendukung konsep 'neutrality' dan 'government of the day' berlandaskan 'rule of law'," katanya.

Beliau berkata, jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh sangat mencabar ini.

Sehubungan itu Mohd Zuki berkata, perkhidmatan awam tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara kerana kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada.

"Saya melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung serta melandaikan keluk jangkitan Covid-19 yang diharungi bersama lebih setahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan: