Ab Ghani presiden baharu MFL

Datuk Ab Ghani Hassan
Datuk Ab Ghani Hassan
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan secara rasmi telah dipilih sebagai Presiden MFL yang baharu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL pada Isnin selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidin bertarikh 12 Ogos 2021.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian, kesemua tujuh Ahli Lembaga Pengarah yang bersidang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Ab Ghani.

Joehari berkata, beliau bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL menghormati keputusan Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatannya.

Malah, beliau percaya Ab Ghani dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hamidin itu dengan baik berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.

“Hamidin telah mengotakan janjinya di mana beliau sendiri telah menyatakan untuk melepaskan jawatan Presiden MFL ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac lalu.

“Kami barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengakui sedih dengan keputusan ini tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah dibuatnya. Kami amat berterima kasih atas segala sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan sepanjang menerajui MFL.

“Pemilihan Ab Ghani sebagai Presiden MFL baharu dilihat adalah satu langkah dinamik di mana beliau sendiri merupakan CEO MFL dan lebih arif dalam sistem pengurusan Liga Malaysia ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami percaya Ab Ghani dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Hamidin untuk memacu MFL ke arah lebih cemerlang dan positif,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Untuk rekod, Hamidin dipilih sebagai Presiden MFL selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan selaku Pengerusi MFL pada September 2019.

Sepanjang menjadi Presiden MFL, Hamidin telah berjaya membawa masuk kembali penaja utama, Telekom Malaysia (TM) selain penaja baharu CIMB Bank yang julung kali menjadi penaja utama saingan Liga Super pada tahun 2020 serta berusaha keras memastikan kelangsungan Liga Malaysia 2021 selepas kalendar Liga Malaysia 2020 terpaksa dipendekkan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ab Ghani pula telah bersama dalam pengurusan tertinggi MFL sejak 17 April 2019 apabila dipilih menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Ab Ghani kemudiannya dilantik sebagai CEO MFL pada 1 Mac 2020 di mana sebelum itu beliau hanya bertindak sebagai pemangku CEO MFL secara sementara pada 1 Disember 2019 susulan peletakan jawatan Kevin Ramalingam.

Ab Ghani yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan kini menjadi individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail dan Hamidin.

Dalam perkembangan sama, Joehari memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengumumkan calon CEO MFL baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Ab Ghani.

“Buat masa ini, Ab Ghani akan memangku tugas CEO MFL buat sementara waktu dan beliau akan mengumumkan pelantikan CEO MFL baharu pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL akan datang,” jelasnya.