Premis diminta kibar Jalur Gemilang

Terdapat beberapa bangunan di sekitar bandar Kuantan sudah mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan kemerdekaan.
Terdapat beberapa bangunan di sekitar bandar Kuantan sudah mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan kemerdekaan.
A
A
A

KUANTAN - Semua premis seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang diminta mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, setakat ini hanya 40 peratus premis yang mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kibar Jalur Gemilang sudah termaktub dalam syarat-syarat lesen perniagaan. Jadi, setiap tahun pada 15 Ogos hingga 16 September, semua premis perniagaan di Pahang mesti memasang Jalur Gemilang.

"Tapi, sejak kebelakangan ini dilihat tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan atas alasan premis tutup. Walaupun premis ditutup, pemilik diminta untuk berbuat demikian (pasang Jalur Gemilang)," katanya dalam sidang akhbar selepas berakhirnya program Pemulihan Sungai Galing balingan Em Mudball di Sungai Galing, pada Ahad.

Kata Abd Rahim, notis makluman mengenai pemasangan bendera sudah diserahkan kepada pemilik premis perniagaan di Pahang.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua PBT meningkatkan pemantauan terhadap pemasangan bendera dan mengeluarkan notis terhadap arahan pemasangan bendera terbabit.

Katanya, tindakan kompaun sehingga RM250 boleh dikenakan jika masih ada pemilik premis yang enggan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kegagalan pemilik premis mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen seperti mana syarat-syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan: