Kediaman Muhyiddin kembali jadi tumpuan

Kenderaan yang membawa Muhyiddin dan menteri yang dilihat masuk ke kediaman Perdana Menteri pada Ahad.
Kenderaan yang membawa Muhyiddin dan menteri yang dilihat masuk ke kediaman Perdana Menteri pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara kembali menjadi tumpuan selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu selesai bermesyuarat bersama pemimpin partinya di Publika.

Muhyiddin tiba di kediamannya pada jam 11.15 pagi selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut dan diikuti beberapa kenderaan dipercayai membawa orang kenamaan termasuk menteri.

Sebelum itu juga kelihatan kenderaan milik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan masuk sekitar jam 10.57 pagi.

Kenderaan tersebut dilihat keluar daripada kediaman Muhyiddin pada jam 12.48 tengah hari tadi.

Terdapat lebih 15 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul sejak jam 8 pagi bagi membuat liputan dan situasi semasa di kawasan perumahan Perdana Menteri.

Difahamkan mesyuarat tersebut bagi membincangkan keputusan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Muhyiddin dijangka akan menyerahkan surat tersebut esok.

Turut terlibat mesyuarat itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Timbalan Menteri Kementerian Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman dan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Noor Azmi Ghazali.

Selain Ahli Parlimen Bersatu, turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulnadam dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Mohd Redzuan, satu pengumuman akan dilakukan pada esok.

Tambahnya, perutusan yang diumumkan pada Jumaat merupakan jalan terakhir demi kepentingan rakyat menghadapi krisis ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin Bersatu selesai mesyuarat, tunggu pengumuman esok