Chelsea sedia cabar City, MU dan Liverpool

Chelsea berada di landasan terbaik untuk menjadi pencabar trofi EPL musim ini. -Foto EPA
Chelsea berada di landasan terbaik untuk menjadi pencabar trofi EPL musim ini. -Foto EPA
A
A
A

CHELSEA berada di landasan terbaik untuk memberikan cabaran kepada Manchester City, Manchester United dan Liverpool dalam perebutan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menundukkan Crystal Palace 3-0 pada Sabtu.

Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel berkata, pasukan kendaliannya itu ketika ini berada pada tahap terbaik untuk mencabar kejuaraan EPL musim ini.

"Saya rasa kami perlu mengekori pasukan-pasukan besar sejak hari pertama liga. Ini apa yang akan kami lakukan, ini adalah mentaliti kami dan kami tidak boleh malu untuk memberikan yang terbaik.

"Namun, realitinya kami bukanlah pasukan pilihan memandangkan kami menamatkan saingan liga di kedudukan keempat musim lalu. Kami perlu merapatkan kedudukan dengan pasukan di kedudukan ketiga kedua dan pertama," katanya.

Dalam perlawanan di Stamford Bridge itu, Marcos Alonso membuka tirai jaringan buat The Blues pada minit ke-27 sebelum Christian Pulisic meledak gol kedua pada minit ke-40 dan Trevoh Chalobah menutup malam cemerlang Chelsea dengan gol ketiga pada minit ke-58.

Juara Eropah itu masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Super UEFA selepas menundukkan Villarreal baru-baru ini sudah tentu menyasarkan pemburuan trofi EPL musim ini untuk menambah koleksi kejuaraan di bawah bimbingan Tuchel.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Crystal Palace itu, Tuchel percaya ia permulaan yang baik buat pasukannya untuk berada di kelompok teratas liga.

"Kami mahu meletakkan standard pada tahap paling tinggi dan berusaha buat yang terbaik dalam setiap perlawanan. Kami menang hari ini tetapi ia hanyalah permulaan dan kami perlu terus membina pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Ia satu persembahan berpasukan yang bagus dalam konteks pertahanan dan serangan. Saya sangat gembira dengan apa yang kami buat pada hari ini.

"Pemain juga agak keletihan terutama selepas bermain 120 minit pada perlawanan Piala Super UEFA, namun mereka tetap menunjukkan keupayaan untuk menang," katanya.