Nesly menangis mahu jumpa ibu beberapa hari sebelum kejadian

Mayat pertama kes tembakan di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak pada 12.40 tengah hari semalam untuk siasatan lanjut. - Foto Bernama
Mayat pertama kes tembakan di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak pada 12.40 tengah hari semalam untuk siasatan lanjut. - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Seorang daripada mangsa insiden tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan pagi Jumaat, mendiang Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau menangis kerana rindu ingin berjumpa dengan ibunya tiga hari lepas.

Menurut kakak sulung mangsa, Qalesyha Abdullah@Zuliza Nabau, Nesly yang berusia 27 tahun dan telah mendirikan rumah tangga, adalah anak bongsu daripada empat beradik, memang hampir setiap hari akan menghubungi ibunya yang berada di Sibu.

“Tiap-tiap hari dia call (menghubungi) emak saya dan memberitahu rasa rindu mahu balik berjumpa dengan emak. Tetapi apakan daya disebabkan kepentingan tugas hasrat tersebut ditangguhkan.

“Sampai ada suatu hari dia menangis dan suruh emak saya pergi ke Kuching,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Qalesyha, 34, yang bekerja sebagai jururawat memberitahu kali terakhir Nesly berjumpa dengan ibunya adalah pada Oktober tahun lepas.

Mendiang Nesly adalah antara empat anggota TUDM yang terkorban dalam insiden tembak pada 7.15 pagi Jumaat di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching.

Turut terkorban dalam insiden itu ialah Koperal U Mohamad Ehsan Sehamat, Koperal U Ho Swee Boon dan Koperal U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

Qalesyha berkata, dia menerima berita mengenai insiden tersebut daripada keluarga terdekat pada sekitar 10 pagi dan segera menghubungi isteri mangsa yang bertugas di Tawau, Sabah untuk pengesahan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila mendengar insiden itu turut melibatkan mendiang, ibu saya terus menangis. Hancur luluh hati saya tengok keadaan dia (ibu),” jelasnya sambil menambah adiknya itu telah berkahwin kira-kira dua tahun tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Qalesyha berkata, pihak keluarga masih lagi menunggu maklumat terkini bila jenazah mendiang akan dihantar ke Sibu dan dijangka disemadikan di tanah perkuburan Nirvana Memorial Park, kilometer 37 Jalan Oya, Sibu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan

[VIDEO] Suspek rampas senjata api dari bilik simpanan senjata balai pengawal