MBK ambil inisiatif bersihkan pinggir Sungai Galing

Keadaan premis terletak berhampiran Sungai Galing di Kawasan Perindustrian Semambu yang dikesan dibiarkan dalam keadaan kotor dan tidak terurus. - Foto FB Majlis Bandaraya Kuantan. Gambar kecil: Nor Kamawati
Keadaan premis terletak berhampiran Sungai Galing di Kawasan Perindustrian Semambu yang dikesan dibiarkan dalam keadaan kotor dan tidak terurus. - Foto FB Majlis Bandaraya Kuantan. Gambar kecil: Nor Kamawati
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengambil inisiatif membersihkan kawasan sepanjang pinggir Sungai Galing di sini melalui Program Pemulihan Sungai Galing bermula Rabu lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Kamawati Kamal berkata, program tersebut bagi memastikan sungai yang merentasi bandar raya Kuantan itu bersih daripada sampah sarap, pembuangan kumbahan dan semak-samun yang boleh menjejaskan aliran dan kualiti airnya.

Menurutnya, program yang turut melibatkan beberapa agensi itu akan dilaksanakan secara berterusan.

"Buat permulaan program yang melibatkan kerja pembersihan dan penguatkuasaan itu dilaksanakan bermula dari kawasan Perindustrian Semambu," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Nor Kamawati berkata, selain menjalankan kerja pembersihan, tindakan penguatkuasaan juga dilaksanakan bagi memastikan pemilik premis di sepanjang pinggir Sungai Galing lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan premis mereka.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pada program itu, empat premis di Kawasan Perindustrian Semambu dikesan dalam keadaan kotor dan tidak terurus dengan longgokan sampah dan barang lusuh.

"Tindakan kompaun RM1,000 dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)," katanya.

Tambah beliau, salah satu elemen dalam program itu termasuk penggunaan 'mud ball' sebagai medium rawatan air sungai yang tercemar.

Artikel Berkaitan:

"Program membersihkan Sungai Galing menggunakan 'mud ball' ini akan dilaksanakan pada Ahad Ini," katanya.