Filem Tamil Malaysia teroka pasaran baharu di Netflix, Amazon Prime

Gambar hiasan.-Foto Bernama
Gambar hiasan.-Foto Bernama
A
A
A

PENERBIT filem Tamil di Malaysia kini menggunakan platform Over-the-Top (OTT) iaitu Netflix dan Amazon Prime untuk meneroka pasaran luar dan mendapat pengiktirafan global.

Kini mungkin masa terbaik bagi pengeluar filem Tamil tempatan untuk memanfaatkan platform itu kerana terdapat ramai penonton merupakan pengguna dalam talian terutamanya sepanjang tempoh pasca pandemik.

“Tambahan pula, diaspora Tamil yang besar menawarkan peluang kepada pengeluar filem Tamil Malaysia untuk melangkaui dua atau tiga negara melalui platform penstriman.

"Bahasa Tamil juga membolehkan anda ke peringkat antarabangsa dengan menyasarkan negara seperti India, Sri Lanka dan Singapura selain Malaysia," kata penerbit filem Tamil tempatan, R Denes Kumar dalam temu bual dengan Bernama melalui Google Meet baru-baru ini.

Denes berkata, platform penstriman memberi lebih banyak kelonggaran kepada pengeluar filem Tamil tempatan untuk mengetengahkan gaya penceritaan unik selain membantu pengeluar memperkenalkan budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini kualiti filem Tamil tempatan bertambah baik dan banyak yang telah memenangi anugerah di dalam dan luar negara selain menyertai beberapa festival filem utama.

"Pada masa ini kita memerlukan orang yang dapat melihat sesuatu daripada perspektif yang pelbagai dan dapat menulis cerita kreatif, kita mahu filem Tamil Malaysia bersifat universal," katanya.

Denes berkata, kapasiti kewangan sebuah filem jauh lebih tinggi ketika ditayangkan di pawagam berbanding platform OTT.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Tamiletchumy Musim 2 yang akan ditayangkan 12 Ogos di Astro Vaanavil, Denes berkata, siri tempatan itu mendapat sambutan memberangsangkan dari penonton tempatan tahun lalu.

Kali ini, penonton akan dihidangkan dengan 58 episod berkisar perjuangan wanita berkahwin dalam melayari kehidupan mengenai cinta, keluarga, pekerjaan, dan komitmen. - Bernama