Penggali kubur terima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan

Roslee (bawah kiri) menjadi salah seorang daripada lima penerima anugerah khas.
Roslee (bawah kiri) menjadi salah seorang daripada lima penerima anugerah khas.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengorbanan besar seorang penggali kubur menguruskan pengebumian jenazah Covid-19 sejak pandemik melanda negara mendapat penghargaan selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan.

Penganugerahan itu diterima Roslee Ali, 63, sempena sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, anugerah yang diterima Roslee merupakan kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini.

"Roslee merupakan penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak Taman Selaseh sejak tahun 2011 hingga kini.

"Beliau terlibat dalam urusan pengebumian jenazah Covid-19 sejak pandemik melanda negara serta pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.

Dr Zulkifli memberitahu, Roslee antara seorang daripada lima penerima Anugerah Khas sempena sambutan berkenaan.

Katanya, Anugerah Tokoh Barisan Hadapan turut diterima Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Bagi Anugerah Tokoh Korporat, ia dirangkul Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni manakala pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu kata beliau, Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nur Maisarah Leong Yoke Keen pula menerima Anugerah Tokoh Mualaf.

Dr Zulkifli menegaskan, kelima-lima tokoh itu dipilih Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1443H Wilayah Persekutuan setelah pertimbangan dilakukan secara saksama.

Kamarudin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 1443H.
Kamarudin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 1443H.

"Anugerah Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun 1443H dianugerahkan kepada bekas Ketua Pengarah Kot Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral (B) Datuk Kamarudin Mamat.

"Tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga penghargaan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada semua penerima untuk terus menabur bakti di negara ini terutama di Wilayah-wilayah Persekutuan," kata beliau melaui ciapan berkenaan.