TFC II rampas kedudukan Liga Premier

Antara aksi TFC II dan Perak FC ll di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Perak FC
Antara aksi TFC II dan Perak FC ll di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Perak FC
A
A
A

TERENGGANU FC ll (TFC II) berjaya merampas kedudukan teratas Liga Premier biarpun sekadar terikat tanpa jaringan dengan Perak FC ll pada aksi yang berlangsung sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Penyerang tuan rumah, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa mensia-siakan peluang meledak gol kemenangan pasukan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-57 yang diberikan pengadil selepas pemain lawan Roziyyat Daud menjatuhkan Amirul Syazwan Nor Azmi.

Keputusan itu menyaksikan TFC II kini mengumpul 29 mata selepas mengharungi 16 aksi liga dan berkongsi mata bersama Negeri Sembilan FC di tempat kedua yang kurang satu perlawanan.

Pada masa sama, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) berjaya melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat PDRM FC 2-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pemain muda Gabriel Nistelrooy Tamin muncul wira pasukan apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-30 dan ke-69 untuk menafikan PDRM FC daripada mencatat kemenangan kedua liga berturut-turut.

PDRM FC yang kini menghuni kedudukan keenam liga membuka tirai jaringan menerusi Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-35 sebelum Bruno Suzuki meletakkan pasukan di hadapan pada minit ke-51.

Dalam pada itu, pemain import dari Indonesia, Natanael Siringo Ringo menjaringkan dua gol untuk membantu Kelantan FC menundukkan Kelantan United 3-1 dalam pertembungan 'derby' di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Bagaimanapun, penyerang Nurshamil Abd Ghani terlebih dahulu mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-39 untuk memberi Kelantan FC kelebihan di separuh masa pertama sebelum Natanel menjadikan kedudukan 2-0 seawal separuh masa kedua bermula pada minit ke-46.

Kelantan United cuba bangkit menerusi jaringan pemain import dari Gambia Alfusainey Gassama pada minit ke-49, namun gol kedua peribadi Natanel pada minit ke-59 sudah cukup untuk menoktahkan kemenangan manis pasukan.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu membolehkan Kelantan FC memintas Kelantan United untuk berada di kedudukan ketujuh liga dengan 21 mata, sementara Kelantan United mengutip 20 mata di tempat kelapan. - Bernama