70 ibu hamil jadi korban Covid-19 di Malaysia

Seramai 70 ibu hamil direkodkan menjadi korban disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 di negara ini. - Foto 123RF
Seramai 70 ibu hamil direkodkan menjadi korban disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 di negara ini. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 70 ibu hamil direkodkan menjadi korban disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu membabitkan kes bagi tahun ini setakat 9 Ogos 2021, manakala tiada kes kematian melibatkan ibu hamil direkodkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, bagi tahun 2021, purata kes Covid-19 bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak 2 kes pada setiap bulan.

“Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian.

“Data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin Covid-19.

“Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus daripada kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham menjelaskan, sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia iaitu dengan anggaran satu peratus ibu hamil telah dijangkiti.

Katanya, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 iaitu sebanyak 850 kes dan Jun 2021 (899 kes).

Artikel Berkaitan:

“Tren peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Ujarnya, peratus ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari tiga peratus pada 10 Julai 2021 kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos 2021.

“Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah 1 dalam 20. Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220,” jelasnya.