Libatkan orang asli dalam sistem sosial, ekonomi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia pada Isnin, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menuntut penglibatan dan persetujuan orang asli dalam pembentukan sistem dengan manfaat sosial dan ekonomi untuk semua.

Suhakam dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, orang asli sering dikecualikan daripada kontrak sosial yang merupakan persetujuan atau amalan tidak bertulis untuk bekerjasama bagi manfaat sosial dan ekonomi.

“Banyak negara berusaha memperbaiki masalah ini melalui permohonan maaf secara terbuka, memulihkan hubungan, reformasi perundangan dan perlembagaan,” menurut kenyataan itu.

Suhakam melalui kenyataan itu juga menyeru kerajaan mengambil tindakan segera melaksanakan semua cadangan Laporan Inkuiri Nasional (NI) mengenai Hak Tanah Orang Asal atau Asli di Malaysia yang diterbitkan pada Ogos 2013.

“Dalam masa sama, mengiktiraf hak orang asli untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan di semua peringkat,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, kebanyakan orang asli terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dengan masalah kewangan, status kesihatan dan akses teknologi terhad terhadap perkembangan wabak itu.

Suhakam turut menghargai lima inisiatif tambahan kerajaan dalam meningkatkan kapasiti dan mempercepat proses vaksinasi termasuk penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak dan program capaian dari pintu ke pintu untuk masyarakat tersebut.

“Usaha menyediakan maklumat mencukupi dan tepat dalam bahasa tempatan yang mudah difahami harus dilakukan bagi memudahkan proses vaksinasi komuniti ini.

Artikel Berkaitan:

“Perlu ditekankan Artikel 21 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak-hak Orang Asal (UNDRIP) menyatakan komuniti ini mempunyai hak tanpa diskriminasi untuk membaiki ekonomi dan sosial mereka.

“Ini termasuk bidang pendidikan, kesihatan, pekerjaan, latihan vokasional dan pembelajaran semula, perumahan, sanitasi, kesihatan serta keselamatan sosial,” kata kenyataan itu.