Vaksin lengkap: Kelonggaran untuk agama, keluarga, ekonomi

Kamaruzaman Mohamad. - Foto Sinar Harian
Kamaruzaman Mohamad. - Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kelonggaran kepada individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 memberikan kebaikan kepada aktiviti keagamaan, institusi keluarga dan ekonomi domestik negara.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, kemudahan itu membuka peluang kepada umat Islam untuk mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara.

“Umat Islam mesti mengambil peluang hadir ke masjid dan surau dan mendekatkan diri kepada ALLAH supaya dapat mengelakkan daripada tertekan dengan suasana mencabar pandemik,” katanya melalui kemaskini di Facebook Pas Pusat pada Isnin.

Kerajaan pada Isnin mengumumkan kebenaran aktiviti rentas daerah dan negeri bagi kumpulan tertentu, solat berjemaah di rumah ibadat serta ‘dine-in’ bagi kawasan yang berada di fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kamaruzaman berkata, dua aspek penting yang turut diberikan penekanan ialah kelonggaran terhadap institusi keluarga dan merancakkan ekonomi domestik.

“Aspek kekeluargaan bertepatan dengan naluri kemanusiaan terutama dalam menghadapi kelesuan pandemik ini.

“Selain itu, merancakkan ekonomi domestik juga adalah langkah yang tepat bagi membantu kelangsungan ekonomi usahawan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya melalui media sosial itu.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa setiap kelonggaran yang diberikan perlu disertai dengan disiplin terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan penularan Covid-19 masih belum terkawal.

Artikel Berkaitan:

“Semoga sedikit kelonggaran yang dibuka dimanfaatkan sebaiknya. Diharapkan kita sentiasa memohon kepada ALLAH agar dijauhkan dan diangkat wabak Covid-19 daripada negara,” ujarnya.