Hutan terbakar: Penduduk Kuantan diancam bahaya


Mengambil sampel tanah gambut dari kawasan kebakaran di Gebeng.
Mengambil sampel tanah gambut dari kawasan kebakaran di Gebeng.
A
A
A

KUANTAN - Kebakaran hutan tanah gambut di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini menimbulkan kebimbangan kerana turut memberikan impak kepada ekosistem termasuk pencemaran udara.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Manusia, Universiti Malaysia Pahang, Dr D Yuventharan berkata, orang ramai boleh mengalami kesesakan nafas ekoran kandungan organik dan fiber yang tinggi dalam kebakaran hutan tersebut.

"Hutan tanah gambut mempunyai kandungan organik dan fiber yang jauh lebih tinggi berbanding tanah biasa. Di kawasan Gebeng ini fiber dikesan sekitar 33 peratus manakala ketebalan boleh menjangkau antara dua ke tiga meter.

"Ciri ciri tanah gambut itu sendiri yang mengalami proses pereputan menyebabkan ia begitu mudah dipengaruhi oleh cuaca, sekiranya kering dan terbakar. Apabila ia terbakar, akan menghasilkan asap hitam dan tebal yang mempunyai gas karbon dioksida CO2.

"Dengan konsentrasi yang tinggi boleh membawa kepada masalah kesihatan dan memudaratkan manusia sekitarnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Dr D. Yuventharan (kiri) bersama kumpulan penyelidiknya dari UMP. ( Gambar kecil: Yuventharan)
Dr D. Yuventharan (kiri) bersama kumpulan penyelidiknya dari UMP. ( Gambar kecil: Yuventharan)

Yuventharan berkata, mengikut indeks pencemaran udara kebakaran hutan gambut boleh mencapai 300 hingga 400 IPU.

Menurutnya orang tua dan kanak kanak serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit asma dan paru-paru adalah golongan berisiko menerima ancaman kesulitan, yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat yang terus terdedah dengan keadaan panas dan berasap boleh menghidapi masalah lebih kronik. Justeru diminta untuk tidak membuat pembakaran terbuka dan elak mendedahkan diri terhadap asap kebakaran tanah gambut," katanya.

Beliau pada masa kini menjalankan Kajian Penstabilan Tanah Organik dan Tanah Bio Gambut berkata, bantuan angin dan hujan dapat membantu mengubah konsentrasi kepekatan karbon dioksida seterusnya mengurangkan risiko.

Bagaimanapun beliau menyarankan saliran air yang berkala dapat dilakukan di kawasan hutan gambut yang dikenalpasti konsisten berlaku kebakaran.

"Ini dapat membantu mengurangkan serta mengelakkan tragedi kebakaran daripada berulang," katanya.

Dianggarkan sejumlah 100 hektar hutan tanah gambut dikenal pasti di Kuantan manakala Rompin dan Pekan, masing-masing, 50 hektar.

Pahang merupakan negeri ketiga yang memiliki hutan tanah gambut terbesar selepas Sabah dan Sarawak, diikuti Selangor.