Dua tan daun ketum gagal diseludup

Sebanyak dua tan daun ketum berjaya dirampas Maritim Malaysia di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Jerlun pada Jumaat.
Sebanyak dua tan daun ketum berjaya dirampas Maritim Malaysia di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Jerlun pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Jerlun pada pagi Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, rampasan ini adalah yang terbesar bagi Maritim Malaysia dan rampasan kedua melibatkan ketum pada Ogos bagi Zon Maritim Kuala Kedah.

Menurutnya, kejayaan serbuan ini adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan berhubung aktiviti penyeludupan daun ketum yang semakin aktif di perairan Kuala Kedah, di mana pada 4 Ogos lepas sejumlah 750 kilogram daun ketum juga telah dirampas.

"Berikutan maklumat risikan dan intipan, dua bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan telah mengesan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan, menghala keluar dari Kuala Sanglang sekitar jam 1.50 pagi, Jumaat lalu.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong kedua-dua bot fiber tersebut bertindak menukar haluan serta memecut laju ke arah berbeza menuju ke daratan dengan meninggalkan bot dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran," katanya pada sidang akhbar di Marina Harbour, Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah pada Isnin.

Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan sebahagian ketum yang dirampas di muara Kuala Sanglang, Jerlun pada Jumaat dan merupakan rampasan terbesar bahan terlarang tersebut setakat ini.
Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan sebahagian ketum yang dirampas di muara Kuala Sanglang, Jerlun pada Jumaat dan merupakan rampasan terbesar bahan terlarang tersebut setakat ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan menjumpai 190 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang dua tan dianggarkan bernilai RM360,000.

Menurutnya, semua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut dan mungkin dilakukan oleh sindiket yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70.

"Aktiviti penyeludupan semakin rancak melalui jalan laut berikutan penutupan pintu sempadan negara serta harga pasaran yang tinggi di Thailand,' ujarnya.

Mohd Zawawi berkata, harga pasaran yang tinggi di negara jiran menjadi faktor pendorong kepada aktiviti jenayah ini, terutamanya 'transporter' yang dianggarkan dibayar sekitar RM350 hingga RM800 bagi setiap hantaran berdasarkan berat timbangan.

Menurutnya, semua hasil rampasan berserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM390,000 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

"Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit," katanya lagi.