Nelayan hilang dipercayai jatuh bot

Mangsa, Ishak Muda. - Foto Maritim Malaysia
Mangsa, Ishak Muda. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUANTAN - Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di lokasi kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng di sini pada petang Ahad.

Kehilangan mangsa, Ishak Muda, 60 disedari tekong setelah bot pukat jerut dinaiki mereka tiba di Jeti Kompleks LKIM Kemunting.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, susulan maklumat diterima, bot ronda Maritim segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 4 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa bersama rakan keluar ke laut menggunakan bot pukat jerut pagi Sabtu.

"Kehilangan mangsa disedari oleh tekong setelah tiba di jeti dan usaha-usaha mencari dilakukan di kawasan jeti dan daratan namun gagal.

"Mangsa yang kali terakhir dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju disyaki jatuh di lokasi penangkapan ikan," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Amran berkata, maklumat kehilangan mangsa turut disalurkan kepada agensi sahabat serta komuniti nelayan tempatan bagi membantu pencarian di sekitar lokasi.

"Operasi carilamat hari pertama ditangguhkan sekitar jam 7.30 malam semalam berikutan cuaca gelap dan disambung semula seawal jam 7 pagi Isnin dengan keluasan sektor pencarian merangkumi kawasan 35 batu nautika persegi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.