Sorok 23 guni daun ketum dalam kandang kambing

Antara guni berisi daun ketum yang ditemui di kandang kambing terbabit.
Antara guni berisi daun ketum yang ditemui di kandang kambing terbabit.
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas sebanyak 23 guni daun ketum dianggarkan bernilai RM19,680 yang disorokkan di dalam sebuah kandang kambing di Felda Mata Ayer di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Medan Markas Taktikal PGA Briged Utara, Deputi Superintendan Mohd Razali Melin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, pasukan risik Batalion 2 PGA Kulim menjalankan operasi membanteras penyeludupan di kawasan berkenaan sebelum terserempak tiga lelaki yang kelihatan mencurigakan.

Beliau berkata, kesemua lelaki berusia 32 hingga 33 tahun itu kemudian disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan 23 guni daun ketum seberat 656 kilogram di dalam kandang kambing berkenaan.

Dua buah motosikal antara barang yang dirampas PGA Briged Utara dalam kejadian di Padang Besar pada Jumaat.
Dua buah motosikal antara barang yang dirampas PGA Briged Utara dalam kejadian di Padang Besar pada Jumaat.

"Ketiga-tiga lelaki itu disyaki sindiket yang cuba menyeludup daun ketum berkenaan ke negara jiran dengan menggunakan lorong tikus di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di daerah Padang Besar," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, seorang suspek yang merupakan warga Thailand turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta dokumen perjalanan yang sah.

"Kita turut merampas dua buah motosikal dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan serta empat telefon bimbit.

Kandang kambing yang menjadi lokasi daun ketum disorokkan di Felda Mata Ayer, Padang Besar pada Jumaat.
Kandang kambing yang menjadi lokasi daun ketum disorokkan di Felda Mata Ayer, Padang Besar pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM25,445 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," ujar beliau.

Tambah Mohd Razali, sepanjang penugasan Batalion 2 PGA Kulim bermula 1 Ogos lalu, sebanyak 1,101 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM33,060 berjaya dirampas.