Umpan kambing perangkap 'Atan Kertih'

'Atan Kertih' yang diselamatkan dilaporkan dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan
'Atan Kertih' yang diselamatkan dilaporkan dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan
A
A
A

DUNGUN - Kambing digunakan sebagai umpan untuk memerangkap seekor harimau belang jantan digelar 'Atan Kertih' di Ladang Sawit Felda Kerteh 4, di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau belang seberat 100 kilogram itu disedari memasuki perangkap semasa anggota Perhilitan membuat pemeriksaan di lokasi perangkap tersebut dipasang pada pagi jumaat.

"Sebelum ini, kira-kira 10 hari lalu, pihak kami ada memasang sembilan perangkap di lokasi untuk memerangkap lima ekor harimau yang dikesan hasil rakaman kamera pada perangkap sejak Jun lalu.

"Kami percaya ' Atan Kertih' yang berusia antara dua hingga tiga tahun itu merupakan salah seekor daripada lima harimau yang diburu. Harimau ini tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan sihat.

"Ini merupakan tangkapan pertama selepas kali terakhir harimau belang ditangkap pada 20 tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi menyelamatkan harimau tersebut dilakukan.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, spesies haiwan yang diancam kepupusan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rasau berhampiran itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Haiwan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk pemantauan lanjut.

"Sehingga kini, kita percaya terdapat tujuh ekor harimau yang sering menyerang ternakan penduduk di sekitar daerah ini sejak 2019 dan dilaporkan semakin kerap berlaku sejak tahun lalu.

"Setakat ini, lebih 240 ekor ternakan di Ladang Sawit Felda Kertih 4, menjadi mangsa pak belang dan kita akan terus melakukan operasi bagi memastikan kesemua harimau di sini berjaya ditangkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain 'Atan Kertih', pihaknya turut menyelamatkan 'Awang Rasau' di Ladang Sawit Felda Kertih 2 yang dipercayai ditembak pemburu haram pada Februari lalu.

Bagaimanapun, harimau jantan tersebut mati pada awal Mac lalu selepas mengalami komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya.