MAFI iktiraf peranan media sampai maklumat Covid-19

Wartawan sambilan Bernama, Adnan Mohamad (dua dari kiri) menerima kotak makanan daripada Che Abdullah.
Wartawan sambilan Bernama, Adnan Mohamad (dua dari kiri) menerima kotak makanan daripada Che Abdullah.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengiktiraf sumbangan pengamal media terutama barisan hadapan wartawan di Kelantan yang berterusan bertugas menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat sepanjang penularan Covid-19.

Sebagai penghargaan, seramai 60 pengamal media di negeri ini menerima agihan kotak makanan bernilai RM100 setiap satu menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas dalam situasi sukar pandemik Covid-19.

Katanya, kumpulan itu tetap utuh turun ke lapangan bagi mendapatkan informasi terkini dan tepat untuk disampaikan kepada rakyat biarpun mendedahkan diri kepada jangkitan.

“Penugasan wartawan tidak mengira keadaan dan mereka banyak membantu kerajaan dalam berusaha membebaskan negara daripada cengkaman Covid-19.

“Peranan mereka diiktiraf dan jasa mereka amat dihargai,” katanya kepada pemberita di Terbok, di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat sebelum itu menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Tumpat.

Beliau berkata, sebanyak 554,000 kotak makanan diagihkan di Parlimen Tumpat menerusi peruntukan RM300,000 yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan dapat memanfaat dan meringankan beban mencakupi semua lapisan masyarakat yang terkesan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan ketika ini.

“Rakyat dipastikan ada makanan di atas meja untuk meneruskan kelangsungan hidup pada saat yang sukar dan mencabar,” katanya.

Che Abdullah berkata, bagi bantuan menerusi MAFI Prihatin pula, skop diperluaskan kepada semua yang memerlukan termasuk petugas barisan hadapan dan mereka yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

“Program MAFI di peringkat kementerian pada mulanya bagi membantu warga tani sahaja.

“Sumbangan barangan dan wang tunai turut diperolehi daripada pihak pertanian swasta,” katanya.