Kelly terus bergelut pamer prestasi terbaik

Aksi Kelly Tan ketika saingan hari pertama acara wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Rabu. -Foto: AFP
Aksi Kelly Tan ketika saingan hari pertama acara wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Rabu. -Foto: AFP
A
A
A

TOKYO - Pemain golf wanita utama negara Kelly Tan, masih tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapinya pada lubang 1, 9 dan 16 di Kasumigaseki Country Club di Saitama bagi memperbaiki catatan 2 atas parnya pada acara individu wanita di Olimpik Tokyo pada Khamis.

Pemain berusia 26 tahun itu menamatkan pusingan kedua dengan satu lagi catatan dua atas par 73, dan berkongsi kedudukan ke-49 bersama tiga lagi pemain golf lain dengan catatan empat atas par 146, pada acara disertai 60 pemain itu. Beliau berkongsi kedudukan ke-41 pada hari pertama.

Seperti Rabu, Kelly sekali lagi mencatatkan bogey pada lubang satu dan sembilan, serta double bogey pada lubang 16 (par 3), selain bogey pada lubang empat dan 10.

Bagaimanapun beliau mencatatkan birdie pada lubang enam, 14,15 dan 17, bagi mengekalkan kedudukan.

Nelly Korda dari Amerika Syarikat mencatatkan sembilan bawah par 62 hari ini untuk mengambil kedudukan pendahulu daripada Madelene Sagstorm dari Sweden dengan catatan keseluruhan 13 bawah par 129.

Nelly, adik kepada Jessica Korda mendahului dengan empat pukulan, berbanding Aditi Ashok dari India serta dua pemain Denmark Nanna Koerstz Madsen dan Emily Kristine Pedersen, yang kesemuanya berkongsi tempat kedua dengan sembilan bawah par 133.

Pada penyertaan pertama Kelly di Olimpik Rio 2016, beliau menduduki tempat ke-51. - Bernama

Artikel Berkaitan: