X

Kindly register in order to view this article
!

Bernas bangunkan empat lokasi SMART SBB

Penglibatan pesawah merupakan elemen penting dalam menjayakan SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis.
A
A

SHAH ALAM - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) terus fokus merangka hala tuju strategik bagi memperkasa industri padi dan beras negara.

Program itu juga seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara iaitu sebanyak 75 peratus.

Bernas dalam satu kenyataan memaklumkan, empat kawasan sawah yang berpotensi telah dikenal pasti sebagai lokasi SMART SBB ialah Batang Lupar, Sarawak; Sungai Batu Pahat, Perlis; Setiu Terengganu dan Kampung Kulambai, Kota Belud di Sabah.

SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis dijangka membantu pesawah meningkatkan hasil tanaman mereka.
SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis dijangka membantu pesawah meningkatkan hasil tanaman mereka.

“SMART SBB ini merupakan program kolaboratif antara Bernas dan agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu dan lain-lain.

“Bernas juga turut melaksanakan SMART SBB bersama pengilang Bumiputera seperti program antara Bernas dan Kilang Beras Dibuk di Perlis.

“Ketika ini kerja-kerja pemulihan infrastruktur dan tanah serta penanaman padi sedang giat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, Bernas memerlukan ketelitian yang menyeluruh, misalnya membangunkan tanah sawah yang sudah lebih 10 tahun terbiar seperti di Kampung Kulambai Kota Belud, Sabah dan kawasan luar jelapang seperti Sungai Batu Pahat di Perlis.

Proses penyemburan benih telah mula dijalankan di SMART SBB Batang Lupar, Sarawak pada akhir Mei yang lalu.
Proses penyemburan benih telah mula dijalankan di SMART SBB Batang Lupar, Sarawak pada akhir Mei yang lalu.

“Bernas bekerjasama dengan hampir 200 pesawah dan mereka turut didedahkan dengan teknik serta amalan pertanian baik bagi menguruskan sawah berskala besar.

“Penggunaan mekanisasi dan teknologi terkini atau Internet of Things (IoT) yang dilihat dapat memudahkan kerja-kerja ladang akan turut diperkenalkan kepada warga tani bagi mewujudkan sistem pertanian yang lebih terancang

“Ini sekali gus dapat menjimatkan kos penanaman secara menyeluruh, selain membantu pesawah memperolehi hasil tuaian yang baik,” katanya.

Menurut Bernas, penglibatan pesawah yang merupakan elemen terpenting dalam program ini turut menunjukkan angka memberangsangkan.

Tambahnya, mereka amat komited serta berdisiplin dalam mengikuti jadual kerja ladang yang telah ditetapkan bagi mendapatkan kadar hasil dan mutu padi yang lebih berkualiti.

“Sebagai salah sebuah syarikat peneraju SMART SBB, Bernas akan sentiasa memberi sokongan terhadap pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi memacu kejayaan mereka.

“Bernas juga turut merancang untuk memperluaskan lagi program SMART SBB ini kepada varieti padi yang lain seperti beras wangi pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Bernas berkata, SMART SBB bermula dengan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernas dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada awal tahun, adalah salah satu inisiatif MAFI bagi menyatukan tanah sawah untuk membentuk satu sistem pengurusan ladang berpusat.

“Sistem berpusat ini dilihat dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi negara.

“Sebagai syarikat yang berpengalaman luas dan mempunyai rangkaian kukuh dalam industri, Bernas menyasarkan kawasan-kawasan yang mempunyai produktiviti rendah dengan mengunjurkan lonjakan hasil antara 40 hingga 60 peratus semusim,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!