Azalina dijangka letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat hari ini

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka meletakkan jawatannya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pangerang itu adalah salah seorang daripada 11 pemimpin UMNO yang dilihat hadir dalam sidang akhbar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Pada Selasa, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai sidang akhbar itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang); Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Pada sidang akhbar itu juga, Ahmad Zahid mengesahkan surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebelum itu mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, selaras dengan kehendak parti.

Selain itu, beberapa lagi menteri dijangka akan mengikut tindakan beliau dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal: UMNO

Shamsul Anuar letak jawatan menteri