X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Felda setuju tambah baik pelarasan pinjaman peneroka

Mustapa Mohamed
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan inisiatif pelarasan pinjaman peneroka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penambahbaikan itu melibatkan tiga perkara iaitu peneroka yang tidak mempunyai pinjaman dengan Felda akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang akan ditentukan kemudian.

“Kedua, penghapusan penuh kepada peneroka bersama Felda yang mempunyai baki hutang di bawah RM5,000 yang juga akan menikmati insentif tanggungan kos tanam semula dengan kadar yang akan ditentukan kemudian.

“Ketiga, peneroka bersama Felda yang mempunyai baki pinjaman RM5,001 hingga RM50,000 akan menikmati had bayaran kembali (BK) bulanan pinjaman lebih rendah,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebooknya pada Selasa.

Mustapa menambah, penambahbaikan itu berdasarkan maklum balas dan cadangan daripada libat urus serta turun padang sebelum ini bagi memastikan semua peneroka mendapat manfaat pelaksanaan insitiatif terbabit.

Katanya, dua isu utama yang dibangkitkan oleh peneroka berkaitan tawaran pelarasan pinjaman peneroka adalah jumlah pelarasan pinjaman yang dianggap tidak adil dan peneroka kurang faham dengan beberapa terma dalam dokumen perjanjian.

“Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Felda mendengar cadangan-cadangan ini,” katanya.

Mustapa berkata, bagi memberikan pemahaman lebih jelas kepada peneroka, addendum (tambahan) kepada perjanjian pelarasan pinjaman peneroka akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

“Saya bersama Pengerusi dan pengurusan Felda bercadang mengadakan sesi libat urus bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta pemegang taruh Felda pada 9 Ogos 2021 bagi berkongsi perkembangan terkini program pelupusan hutang peneroka.

“Untuk makluman, sehingga 2 Ogos, sebanyak 73,817 peneroka telah menandatangani perjanjian menerima inisiatif ini. Di 64 rancangan, lebih 90 peratus menandatangani perjanjian.

“Insya-ALLAH, Felda akan kembali ke atas landasan asal dan menjadikan agensi ini lebih hebat,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!