KPDNHEP lupus barang bernilai RM330,032

Mohd Ridzuan (dua,kiri) memotong jersi tiruan yang dirampas.
Mohd Ridzuan (dua,kiri) memotong jersi tiruan yang dirampas.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Beg tangan berjenama, jersi bola sepak, aksesori telefon dan barangan elektronik antara barang rampasan berjumlah RM330,032 yang dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang hari ini.

Selain itu, barang rampasan termasuk produk makanan, alat ganti motosikal, rokok tiruan, dan cakera video digital (DVD) turut dilupuskan dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP di Bukit Minyak di sini.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata,kesemua barangan berkenaan adalah hasil rampasan membabitkan 20 kes sepanjang tempoh 2017 hingga tahun ini.

Menurutnya, kesemua barang yang disita di seluruh negeri itu dilupuskan selepas pihaknya mendapat perintah mahkamah.

"Selain barangan tiruan atau ciplak, ia antaranya membabitkan kesalahan menggunakan perihal dagangan palsu, logo halal tidak sah selain kesalahan mengikut Akta Jualan Langsung iaitu tanda harga, jualan murah dan penglabelan.

"Ini adalah proses pelupusan kali kedua yang kita lakukan pada tahun ini dan KPDNHEP Pulau Pinang menetapkan akan melakukan pelupusan barang kes yang telah diputuskan oleh mahkamah pada setiap bulan," katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Sapiah Mohd Nor.

Mohd Ridzuan berkata, pihaknya bercadang untuk menyalurkan barangan makanan yang diarahkan untuk dilupuskan kepada program Mutiara Food Bank bagi diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada kualiti serta keadaan bahan makanan berkenaan yang masih dalam keadaan baik.