LPPKN tawar bulan madu kedua pasangan berkahwin

Nicole Tan (tengah) pada sidang media.
Nicole Tan (tengah) pada sidang media.
A
A
A

SEREMBAN - Pasangan suami isteri yang usia perkahwinan melebihi lima tahun ke atas, dipelawa untuk bersama-sama mengikuti program 'SmartStart 2nd Honeymoon' anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) secara percuma.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, program yang bermula sejak 2010 lalu, kurang mendapat pendedahan dan sehingga kini hanya ada 150 peserta sahaja yang menyertainya.

Katanya, pasangan suami isteri yang sudah melayari bahtera rumah tangga lebih lima tahun atau yang mempunyai masalah rumah tangga, digalakkan untuk menyertai program ini untuk menyemarakkan lagi hubungan dan membangkitkan rasa cinta antara satu sama lain.

"Objektif utama program ini adalah untuk menyemarakkan semula rasa cinta antara pasangan suami isteri agar hubungan perkahwinan dapat dimantapkan serta disuburkan seperti tahun pertama perkahwinan.

"Merupakan satu kerugian bagi pasangan suami isteri jika mereka tidak menemui rasa keseronokan dalam alam rumah tangga," katanya pada sidang media di pejabat LPPKN.

Nicole Tan pada sidang media semalam.
Nicole Tan pada sidang media semalam.

Turut serta Pengarah LPPKN, Bibi Azlilee Abdullah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri, Ruzanna Sager Ahmad.

Tambahnya, program akan berlangsung selama dua hari satu malam, dan para peserta perlu mengikuti pelbagai pengisian yang dianjurkan oleh penganjur secara percuma.

Artikel Berkaitan:

Antara pengisiannya adalah mengenali dirimu sayang, membina keintiman suami isteri, makan malam romantik, terapi, ikrar cinta dan menangani tekanan dan konflik.

"Berdasarkan pengalaman, rata-rata peserta berpuas hati dengan program ini kerana dapat membantu mengenali isi hati masing-masing, selain membantu pasangan membina visi rumah tangga yang lebih jelas di masa hadapan," katanya.

Kata Nicole, mana-mana badan NGO yang berkelayakan dan berdaftar boleh mengemukakan permohonan geran khas di bawah Bantuan Khas Perbendaharaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk menjalankan program ini yang akan dipantau oleh LPPKN.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Kepayang itu memberitahu, seramai 7,000 suri rumah di negeri ini yang masih tidak berdaftar dengan i-suri, menyebabkan mereka tidak dapat menikmati bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

Katanya, mana-mana suri rumah yang belum berdaftar dengan i-suri, mereka dinasihatkan supaya segera berdaftar bagi membolehkan bantuan seperti caruman KWSP mereka dapat dilaksanakan.

"Kita akan mengadakan road show bersama agensi berkaitan termasuk Pejabat Pos, KWSP, Pejabat Daerah dan MPKK bagi membolehkan mereka yang tidak berdaftar segera mengemukakan permohonan i-suri," katanya.