X

Kindly register in order to view this article
!

Ternakan arnab jadi tarikan anak muda

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) meninjau ke Projek Ternakan Arnab milik Ismail Jusoh, 56, di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, Tumpat, pada Ahad.
A
A

TUMPAT - Industri baharu penternakan arnab pedaging di Malaysia dipelopori oleh 80 peratus kalangan anak muda daripada jumlah keseluruhan lebih 10,000 penternak di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ternakan arnab menarik minat pengusaha muda kerana pulangan yang cepat dan lumayan.

Katanya, populasi arnab di Malaysia pada tahun 2020 mencapai 44,967 ekor meliputi arnab pedaging dan haiwan peliharaan.

“Pusingan ternakan arnab mengambil masa yang singkat dan boleh disembelih pada umur 90 hari di samping kos operasi yang lebih rendah.

“Harga jual daging arnab pula lumayan minimum RM35 per kilogram,” katanya kepada pemberita di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian sempena Lawatan Kerja ke Projek Ternakan Arnab milik Ismail Jusoh, 56.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah (kanan) yang melawat ke Projek Ternakan Arnab milik Ismail Jusoh, 56, (tengah) di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, Tumpat, pada Ahad.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah (kanan) yang melawat ke Projek Ternakan Arnab milik Ismail Jusoh, 56, (tengah) di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, Tumpat, pada Ahad.

Mengulas lanjut, tiada syarat khas untuk setiap orang menternak arnab, namun digalakkan untuk mengikuti kursus asas penternakan arnab yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyokong perkembangan positif industri penternakan arnab melalui bantuan, kursus penternakan dan khidmat nasihat.

“Industri ini mampu memberi persaingan sihat kepada komoditi sedia ada seterusnya dapat meningkatkan pendapatan pengusaha,” katanya.

Tambah beliau, Kelantan antara negeri yang menunjukkan pertumbuhan populasi arnab yang memberangsangkan sejak lima tahun kebelakangan ini.

“Pertumbuhan sehingga 10,506 ekor pada tahun 2020 dengan 301 penternak berbanding 1,309 ekor pada tahun 2015.

“Seramai 16 penternak arnab berpotensi di Kelantan dibantu menerusi Skim Agropreneur Muda pada suku pertama tahun ini dengan menyediakan bantuan sokongan berbentuk kelengkapan penternakan, infrastruktur, bekalan dan makanan ternakan berjumlah RM320,000,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!