X

Kindly register in order to view this article
!

Penubuhan Lembaga Ruminan bantu tingkat pengeluaran makanan

Che Abdullah meninjau ternakan yang terdapat di ladang milik Mohd Subhi ketika lawatan kerja, pada Jumaat.
A
A

SEPANG - Penubuhan Lembaga Ruminan yang dijangka bermula secara berfasa pada tahun hadapan merupakan satu usaha dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan ruminan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penubuhan lembaga berkenaan telah dicadangkan dan dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Makanan Negara sebelum ini.

CHE ABDULLAH
CHE ABDULLAH

Beliau berkata, penubuhan lembaga ini juga selari dengan hala tuju MAFI menerusi Dasar Agro Makanan Negara 2.0.

"Ini merupakan usaha bagi memartabatkan industri dan meningkatkan pengeluaran hasil berasaskan ruminan di negara ini," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang lembu dan kambing di Desa Vista, di sini pada Jumaat.

Menerusi lawatan berkenaan, Che Abdullah berkesempatan meninjau salah sebuah ladang dimiliki oleh seorang pengusaha, Mohd Subhi Mohd Masuru,51 yang memiliki lebih 300 ekor lembu dan kambing secara keseluruhan.

Che Abdullah (kiri) menyerahkan sijil kepada Mohd Subhi selepas lawatan kerja berkenaan, pada Jumaat.
Che Abdullah (kiri) menyerahkan sijil kepada Mohd Subhi selepas lawatan kerja berkenaan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Subhi berkata, sepanjang mengusahakan ternakan berkenaan, pihaknya berdepan beberapa cabaran namun berjaya diatasi hasil bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

"Ketiadaan kemudahan seperti bilik penyejukan dan rumah sembelihan turut memberi kesan kepada perusahaan ternakan ini, namun DVS sentiasa membantu dalam memberi perkhidmatan seperti suntikan vaksin dan pengambilan darah berjadual," katanya.

Tambah Mohd Subhi, pihaknya sememangnya mempunyai perancangan untuk meluaskan perusahaan perniagaan itu malah usaha ke arah itu sedang dilakukan ketika ini.

Lembu ternakan yang diusahakan oleh Mohd Subhi di ladang ternakan miliknya di Desa Vista.
Lembu ternakan yang diusahakan oleh Mohd Subhi di ladang ternakan miliknya di Desa Vista.

"Perancangan jangka panjang memang ada namun ia bergantung kepada modal yang ada," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!