1,600 ekor ayam segar diagihkan di kawasan PKPD

Para petugas sedia untuk mengagihkan ayam segar kepada 1,600 kediaman di Mukim Bandi, Kemaman yang dikenakan PKPD sejak 21 Julai.
Para petugas sedia untuk mengagihkan ayam segar kepada 1,600 kediaman di Mukim Bandi, Kemaman yang dikenakan PKPD sejak 21 Julai.
A
A
A

KEMAMAN - Lebih 1,600 ekor ayam segar diagihkan kepada penduduk di kawasan Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 21 Julai lalu.

Sumbangan yang dihantar kepada 1,600 kediaman itu kerjasama antara Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim.

Ketua Penyelia Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam berkata, agihan tersebut diselaraskan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang membantu menghantar ayam segar tersebut kepada setiap rumah dalam kawasan PKPD.

“Ini merupakan agihan kedua selepas bantuan barang keperluan dapur yang kita berikan kepada penduduk selepas perintah PKPD berkuatkuasa di kedua-dua kawasan tersebut.

“Dengan bantuan ini, kita harap ia sedikit sebanyak dapat menceriakan dan meringankan beban penduduk yang kini terpaksa duduk di rumah masing-masing akibat PKPD,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mohd Hafiz berkata, kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran dihadapi penduduk dalam kawasan PKPD.

Menurutnya, mereka yang berdepan masalah seperti terputus bekalan makanan boleh menghubungi JPKK bagi mendapatkan bantuan.

“Kita sentiasa bersedia membantu dan bantuan akan diteruskan selepas ini bergantung kepada keadaan semasa,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

PKPD Mukim Bandi membabitkan Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 mula berkuatkuasa pada 21 Julai hingga 3 Ogos ini membabitkan lebih 10,000 penduduk daripada kira-kira 1,600 buah rumah.