KSM, ILO kerjasama bangun NAPFL atasi isu buruh paksa

Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa kini dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025.
Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa kini dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) kini dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025, bagi menangani dan membasmi isu buruh paksa di dalam negara.

KSM dalam satu kenyataan berkata, pembangunan NAPFL itu telah melalui beberapa siri perbincangan sejak tahun 2019 dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Katanya, NAPFL akan menjadi pelengkap kepada Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP) yang telah dilancarkan oleh Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), KDN pada 31 Mac lalu.

"KSM selaku Pengerusi kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh di bawah MAPO, telah memulakan pembangunan NAPFL ini sebagai salah satu inisiatif kementerian bagi menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara.

"Justeru, dalam usaha untuk memastikan pelan tindakan tersebut dibangunkan secara menyeluruh serta mengambil kira situasi sebenar dalam negara, KSM telah memuat naik draf dokumen NAPFL ke laman sesawang https://www.mohr.gov.my/index.php/ms/ bermula 27 Julai bagi mendapatkan pandangan dan komen daripada semua pihak berkepentingan termasuk orang awam.

"Tarikh tutup bagi mengemukakan pandangan dan komen adalah pada 6 Ogos 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah KSM, pihaknya menjangkakan bahawa NAPFL yang akan dilancarkan sebelum penghujung tahun ini, boleh dijadikan sebagai panduan kepada semua pihak khususnya majikan bagi memastikan tiada elemen buruh paksa dalam rantaian perniagaan mereka.

"NAPFL ini juga mencerminkan komitmen berterusan KSM untuk memastikan isu buruh paksa dalam negara dapat ditangani secara kolektif dan efektif," katanya.

Artikel Berkaitan: