Ku Li minta pindah tempat duduk dari blok 'kerajaan gagal'

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta kerusi tempat duduk beliau dalam sidang khas Dewan Rakyat di blok kerajaan dipindahkan kerana tidak mahu dianggap menyokong 'kerajaan gagal'.

Pertukaran tempat duduk itu dimohon Tengku Razaleigh atau Ku Li menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 26 Julai 2021.

Menerusi surat itu, Ku Li berkata, beliau tidak ingin terus berada di kerusi yang disediakan untuk beliau bersama kumpulan ahli Dewan Rakyat kerajaan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.

"Dengan pemakluman ini, saya mohon mendapat persetujuan dan kerjasama Yang Dipertua memindahkan tempat duduk saya ke suatu kerusi dalam Dewan Rakyat berhampiran dengan blok bebas yang tidak menyokong kerajaan sekarang ini.

"Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Ku Li menjelaskan, beliau juga belum mengetahui sama ada ahli Dewan Rakyat yang lain daripada partinya, UMNO telah berurusan dengan Azhar mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

"Walau apa pun yang dilakukan mereka, saya mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini," katanya.

Artikel Berkaitan: