Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Latifah Sidek

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga isteri legenda badminton negara Datin Latifah Sidek yang meninggal dunia semalam. - Foto FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga isteri legenda badminton negara Datin Latifah Sidek yang meninggal dunia semalam. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang meninggal dunia pada Jumaat.

Istana Negara menerusi laman Instagram rasmi pada Sabtu memaklumkan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," demikian menurut hantaran tersebut.

Menurut Istana Negara, Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Misbun pada 1987 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita dan Misbun Awalauddin.

Arwah sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai lepas.

ARTIKEL BERKAITAN:Isteri Misbun meninggal dunia

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek kehilangan isterinya, Datin Latifah Sidek yang meninggal dunia malam tadi.

Berita itu disahkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Twitter sekitar pukul 9 malam, namun punca kematian tidak dimaklumkan.

Artikel Berkaitan: