Pegawai Perubatan, Pergigian, Farmasi ditawar lantikan kontrak 2 tahun

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

“Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

“Langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Isu pegawai perubatan kontrak itu mendapat perhatian selepas kempen #HartalDoktorKontrak dilancarkan di media sosial dengan seruan agar mogok diadakan.

Wakil kumpulan Hartal Doktor Kontrak dilaporkan berkata, sikap berdiam diri kerajaan menyebabkan mereka tiada pilihan selain meneruskan mogok pada 26 Julai.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan satu kertas cadangan kepada mesyuarat kabinet pada 14 Julai lalu berhubung penambah baikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.

“Kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Bagi memastikan perkara ini diberikan perhatian penuh dan ditangani secara menyeluruh serta lebih berkesan, saya telah mengarahkan KKM dan kementerian serta agensi berkaitan merangka sebuah pelan komprehensif serta inklusif merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji Penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

“Antara persetujuan lain yang turut dicapai ialah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, keputusan-keputusan tersebut akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

“Kerajaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang Covid-19.

"Kerajaan akan memastikan kebajikan dan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil,” katanya.

ARTKEL BERKAITAN: Lebih 23,000 pegawai perubatan kontrak tidak diserap

Doktor kontrak ambil tindakan bercuti tanda protes

Kabinet akan bincang rayuan doktor kontrak: PM