Lebih 23,000 pegawai perubatan kontrak tidak diserap

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan perlu mengemukakan segera formula terbaik untuk menyerap pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan berbanding mengikut prosedur sedia ada yang berdasarkan kekosongan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelanjutan kontrak yang diberikan kepada mereka sehingga penghujung 2022 bukan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka masa panjang sektor perubatan negara.

Menurut beliau, situasi pandemik yang melanda ketika ini membuktikan betapa sistem perubatan negara sangat memerlukan peningkatan dan pembaharuan radikal.

"Kerajaan mesti mengemukakan penyelesaian tuntas terhadap masalah ini kerana lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan setelah mereka graduan dan melakukan housemanship semenjak 2016.

"Kita memerlukan lebih banyak hospital, lebih ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau di mana jua tanpa mengira kemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad ketika mengulas seruan Hartal Doktor Kontrak di media sosial untuk pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 1 Julai depan.

Baru-baru ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak trending di twitter sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, secara lazimnya serapan ke jawatan tetap berlaku bila ada kekosongan, namun sistem kesihatan Malaysia tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti terdahulu dengan jumlah perjawatan di peruntukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada nisbah dan norma prapandemik.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan gawat waktu ini menuntut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka dasar dan keperluan guna tenaga yang lebih strategik dan mapan dalam primary care, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan, preventive health dan penyelidikan perubatan.

"Tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan standard, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak dan pada segera adalah keutamaan nasional.

"Kegelisahan, kekecewaan dan masa depan pegawai perubatan kontrak adalah keutamaan yang akan kami perjuangkan. Jasa dan keringat anda semua sangat kami hargai," katanya.