Perinci SOP meyakinkan sebelum buka sekolah: Maszlee

Maszlee berkata, jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, mereka perlu memastikan ia dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu. (Dr Maszlee - Foto FB Dr Maszlee Malik)
Maszlee berkata, jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, mereka perlu memastikan ia dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu. (Dr Maszlee - Foto FB Dr Maszlee Malik)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan kerajaan untuk membuka semula sekolah pada 1 September depan tanpa membentangkan secara terperinci gerak kerja lengkap prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan diyakini berkesan dibimbangi akan mengulangi kesilapan sebelum ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, ia berdasarkan keputusan 'flip flop' yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan membuka sekolah pada April lalu, sehingga banyak sekolah akhirnya terpaksa ditutup selepas dua minggu dibuka.

"Ramai guru juga tertanya-tanya mengapakah KPM perlu tergesa-gesa mengumumkan pembukaan sekolah pada 1 September sedangkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru-guru telah melakukan banyak penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang 16 bulan yang lalu dan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 menunjukkan jelas PdPR boleh dilaksanakan.

"Ramai ibu bapa yang merasakan apakah rasionalnya keputusan tergesa-gesa KPM sedangkan program agihan 150,000 komputer masih lagi belum selesai untuk membantu murid miskin.

"Apakah pengumuman pembukaan semula sekolah pada 1 September ini sekadar menjadi alasan untuk tidak menyelesaikan baki agihan komputer yang dijanjikan itu?" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah akan dibuka semula secara berperingkat mulai 1 September

Bekas Menteri Pendidikan itu bagaimanapun berpandangan, ramai guru dan ibu bapa boleh bersikap rasional untuk bersetuju sekolah dibuka semula dengan beberapa syarat, antaranya KPM mesti membentangkan terlebih dahulu SOP khas untuk pelajar kategorikan 'non vaksin' di dalam kawasan sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data.

Selain itu, tambahnya, KPM perlu menyelesaikan proses vaksinasi kepada semua guru dan pekerja sekolah tanpa terkecuali memandangkan keselamatan dan kesejahteraan guru dan pekerja sekolah termasuk kakitangan kantin serta pengawal keselamatan perlu diberikan keutamaan di dalam apapun keputusan yang diambil.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihak kementerian juga perlu mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi kepada pelajar kelas peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) secara sukarela.

"Saya percaya, ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak ini kembali ke sekolah jika anak-anak mereka telah menerima vaksin.

"Kementerian juga perlu pastikan hanya murid yang ahli keluarga mereka telah divaksin (sekurang-kurangnya dos pertama) sahaja dibenarkan ke sekolah untuk elakkan wujud kluster sekolah.

"Mereka juga harus berbincang dengan NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan), Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), persatuan-persatuan ibu bapa dan pihak Malaysian Paedetric Association (MPA) sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung isu ini," ujarnya.

Jelas Maszlee, jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, mereka perlu memastikan ia dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu.

Tambah beliau, ia disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau, kemudian barulah pembukaan sekolah ke kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok memandangkan pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini.

"Apa yang utama ialah apa sahaja keputusan yang diambil oleh KPM, kuasa autonomi hendaklah diberikan kepada pihak sekolah untuk merangka apa yang terbaik dengan keadaan lokaliti mereka berdasarkan panduan dari semua pemegang taruh dan juga MKN.

"Seperkara penting ialah kerajaan perlu sedar, di kala ini defisit kepercayaan di kalangan rakyat terhadap KPM terlalu serius dan parah. KPM perlu bertindak lebih bijak, cermat berstrategi serta telus kali ini.

"Pendidikan bukanlah sesuatu untuk dipolitikkan, pendidikan anak-anak merupakan masa depan negara, maka lakukanlah dengan penuh amanah dan profesional," tegasnya.