X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beranak hilang ketika memancing ditemui lemas

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jeti PPM selepas ditemui di kawasan pesisir pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan, Kudat.
A
A

KUDAT - Dua beranak ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Karang di sini pada Jumaat lalu.

Mayat mangsa Jobik Mokim, 47, bersama anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemui orang awam terdampar di kawasan pesisir pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, Ahad.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, kedua-dua mangsa hanya disedari hilang selepas bot mereka ditemui tersadai di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas, Sabtu lalu.

Katanya, keluarga mangsa kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"JBPM memulakan operasi pada jam 7.51 pagi semalam (Ahad) di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Bagaimanapun, JBPM menerima makluman penemuan mayat di pesisir pantai berhampiran sebuah pusat peranginan dan terus bergerak ke lokasi dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Affendy berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa pertama yang dipercayai Jobik, ditemui dan diangkat menggunakan bot JBPM.

"Beberapa minit selepas itu, pasukan bomba turut menemui seorang lagi mangsa iaitu Nick Hezron dan terus dinaikan ke bot pasukan polis dengan dibantu pihak bomba dan Maritim Malaysia.

"Kedua-dua mangsa terus dihantar ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, susulan penemuan kedua-dua mangsa, operasi ditamatkan pada jam 1.55 petang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!