15,734 pekebun kecil RISDA lengkap divaksin

Mohd Salim (berbaju hitam) dan Ismail Sabri (berbaju biru) melihat jururawat menyuntik vaksin kepada seorang penerima di PPV pandu lalu Pejabat Daerah dan Tanah Jempol pada Ahad.
Mohd Salim (berbaju hitam) dan Ismail Sabri (berbaju biru) melihat jururawat menyuntik vaksin kepada seorang penerima di PPV pandu lalu Pejabat Daerah dan Tanah Jempol pada Ahad.
A
A
A

JEMPOL - Seramai 15,734 pekebun kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah pun melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 kedua sehingga Jumaat lalu.

Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pihaknya akan terus berusaha membantu kerajaan mendekati golongan pekebun kecil luar bandar dalam usaha mempercepatkan suntikan vaksin kepada golongan terbabit.

"Antara usaha yang dilakukan RISDA adalah pembukaan kaunter khas di semua premis RISDA dengan menyediakan pegawai bertugas bagi membantu pekebun kecil membuat pendaftaran dan semakan melalui aplikasi MySejahtera.

"Selain itu kita turut menyediakan kenderaan RISDA untuk membawa pekebun kecil yang mengalami kesukaran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada sesi lawatan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di PPV pandu lalu Pejabat Daerah dan Tanah Jempol di sini pada Ahad.

Menurutnya, sehingga Jumaat lalu, seramai 15,601 orang pekebun kecil telah dibantu untuk pendaftaran vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ujarnya, PPV pandu lalu adalah inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jempol bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan pemberian vaksin kepada penduduk setempat termasuk pekebun kecil RISDA.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PPV pandu lalu perlu diperbanyakkan kerana ia lebih mudah dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, prosesnya juga lebih cepat dan tidak jauh beza dengan proses pemberian vaksin biasa.

"Saya buat tinjauan ke PPV pandu lalu di Jempol ini dan saya lihat ia berjalan lancar. Kalau boleh ia diperbanyakkan lagi di mana-mana tempat pun lebih baik.

"Secara pandu lalu ini tidak perlu libatkan tempat yang besar, dewan atau khemah dan orang yang datang pun tak perlu fikir untuk parkir kereta," katanya.

PPV pandu lalu Pejabat Daerah dan Tanah Jempol itu menjadi perintis kepada pelaksanaan PICK peringkat Parlimen Jempol.

.