Laluan berliku menuju kejayaan

Kegagalan sememangnya wujud di negara kita. Terma negara gagal pula adalah satu terma teknikal, walaupun mengikut kriterianya Malaysia bukanlah sebuah negara gagal.
Kegagalan sememangnya wujud di negara kita. Terma negara gagal pula adalah satu terma teknikal, walaupun mengikut kriterianya Malaysia bukanlah sebuah negara gagal.
A
A
A

KEGAGALAN sememangnya wujud di negara kita. Terma 'negara gagal’ pula adalah satu terma teknikal, walaupun mengikut kriterianya Malaysia bukanlah sebuah negara gagal, sungguhpun berdasarkan kepada hujah Daniel Moss dalam ruangan Bloomberg Opinion, kita sedang meniti laluan menuju sebuah negara gagal.

Spektrum reaksi terhadap tuduhan tersebut sangat ketara. Maklum balas yang paling tidak rasional adalah daripada sumber pihak bertentangan walaupun berkongsi corak pemikiran yang sama.

Satu pihak adalah pihak yang tidak dapat menerima apa-apa kritikan.

Sebagaimana diktator yang percaya diri mereka maksum, mereka mengatakan bahawa kritikan terhadap negara berpunca daripada konspirasi jahat yang bertujuan melemahkan kedaulatan negara, dimulakan dengan menjatuhkan kerajaan.

Hal yang sama turut dirasakan oleh pihak lawan yang percaya bahawa mereka memiliki segala penyelesaian. Menurut pemikiran sebegini, setiap kritikan (dan pujian) didorong oleh keinginan terhadap kuasa – kebenaran fakta merupakan perkara kedua.

Maklum balas yang lebih rasional mampu membezakan antara kegagalan individu, kementerian atau institusi serta menilai sama ada semua kegagalan tersebut adalah kegagalan negara.

Saya telah menulis 'Perlembagaan Kita Masih Berfungsi’ bulan lalu setelah Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong dengan jelas menyatakan bahawa darurat akan tamat, manakala Parlimen pula harus segera bersidang.

Kerajaan awam yang berfungsi dengan kuasa yang terbatas dan demokrasi berparlimen yang kembali pulih (walaupun mempunyai kelemahan) memberi isyarat bahawa Malaysia masih berfungsi mengikut struktur asasnya.

Artikel Berkaitan:

Lebih penting lagi, keutuhan wilayah kita terjamin, malah pelbagai agensi dan jabatan kerajaan Persekutuan serta negeri masih menyediakan perkhidmatan (disesuaikan dengan situasi Covid-19) pendidikan, pengangkutan, perumahan, air, pentadbiran tanah dan perkhidmatan lain.

Segala jenis perkhidmatan ini didanai melalui percukaian dan pelbagai bentuk hasil pendapatan (walaupun rasuah dan ketidakcekapan adalah perkara biasa).

Pihak polis dan tentera masih lagi mempunyai rantaian perintah yang jelas, oleh itu tidak timbul isu rampasan kuasa (dibantu oleh hakikat bahawa Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong, bukan ahli politik).

Semua perkara berikut adalah benar, di samping kita menerima bahawa segalanya boleh dan akan menjadi lebih baik. Satu bahagian penting dalam penambahbaikan negara adalah menerima bahawa kegagalan itu wujud.

Kesetiaan

Ketika Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) ditubuhkan pada tahun 2010, pengkritik mengatakan kami mempunyai agenda kepartian, namun lama-kelamaan saya berharap kami telah menunjukkan kesetiaan kami kepada negara, Perlembagaan Persekutuan, dan Rukun Negara.

Kami telah membina hubungan dengan ahli politik daripada semua pihak dan perkhidmatan awam dengan harapan dapat mengenal pasti kelemahan serta merencanakan penyelesaian.

Beginilah yang seharusnya berlaku dalam demokrasi berparlimen, sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam siri pertama Speaker’s Lecture Series di Dewan Rakyat pada Disember 2018 - masyarakat sivil perlu bekerjasama dengan ahli-ahli Parlimen dan birokrat supaya dapat melakukan penambahbaikan terhadap negara berdasarkan bukti, keinginan rakyat serta kemampuan perkhidmatan awam.

Kesilapan

Malangnya, kesan kesilapan atau kelewatan dalam membuat keputusan ketika krisis kesihatan awam boleh menyebabkan kematian.

Seperti yang telah saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, wabak ini telah menzahirkan sikap terbaik rakyat Malaysia yang saling membantu - rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan perniagaan berganding bahu menolong komuniti rentan.

Kempen bendera putih telah mencetuskan pelbagai usaha kerjasama demi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan dalam mendapatkan barangan keperluan asas untuk keluarga yang memerlukan.

Salah satu daripadanya adalah kempen Dana Kecemasan Hospital oleh rakan organisasi IDEAS iaitu IDEAS Community Projects, pengelola Pusat Autisme IDEAS yang bekerjasama dengan Projek Bangsa Malaysia untuk membeli dan menyumbang peralatan kepada hospital yang merawat pesakit Covid-19.

Kempen tersebut bermula sebagai tindak balas kepada maklumat daripada para doktor bahawa peralatan seperti ventilator, kelengkapan perlindungan diri dan katil amat diperlukan segera.

Baru-baru ini, tular satu video mengandungi keluh kesah petugas kesihatan barisan hadapan walaupun tanpa sebarang nama disebut kerana mereka merupakan penjawat awam.

Namun, individu-individu tersebut wujud dan pernyataan mereka sejajar dengan gambar serta video keadaan di wad hospital yang ditularkan.

Rakyat Malaysia bermurah hati menyumbang kepada dana tersebut tetapi kemahuan para penyumbang untuk mengetahui perbelanjaan wang sumbangan berkenaan amat difahami.

Sebagai Pengerusi IDEAS, saya berjanji bahawa wang tersebut akan dibelanjakan berdasarkan keperluan mengikut nasihat doktor. Segala sumbangan dan perbelanjaan juga akan diaudit sepenuhnya.

Amat malang, satu sisi buruk juga telah terzahir. Beberapa orang doktor yang bekerjasama dengan kami telah dikenal pasti dan menerima ugutan serta ancaman daripada individu tidak dikenali.

Mereka diancam agar tidak memberikan maklumat kepada pihak luar kerana hal tersebut memberikan gambaran buruk kepada pihak kerajaan.

Akibatnya, doktor dan jururawat yang bertungkus-lumus bekerja demi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia kini berdepan risiko dilabel sebagai musuh negara.

Jika sikap keji seperti ini berterusan, suatu hari nanti kita mungkin akan mengimbau kembali apa yang sedang berlaku dan membuat kesimpulan bahawa inilah saatnya Malaysia benar-benar menjadi sebuah negara yang gagal.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS