Bekalan lembu cukup untuk ibadah korban

Bekalan ternakan lembu mencukupi bagi menampung permintaan umat Islam menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini biarpun kerajaan menghentikan pengimportan lembu dari Thailand. Gambar hiasan
Bekalan ternakan lembu mencukupi bagi menampung permintaan umat Islam menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini biarpun kerajaan menghentikan pengimportan lembu dari Thailand. Gambar hiasan
A
A
A

JASIN - Bekalan ternakan lembu mencukupi bagi menampung permintaan umat Islam menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini biarpun kerajaan menghentikan pengimportan lembu dari Thailand.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, tindakan menghentikan import lembu dari Thailand itu dikuatkuasakan sejak awal bulan lepas untuk mengekang penularan penyakit kulit kental berbonjol (LSD).

Menurut beliau, harga bagi bekalan lembu hidup juga masih terkawal iaitu di paras RM5,000 hingga RM5,500 seekor mengikut kos keseluruhan bagi ternakan haiwan ruminan itu.

"Kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di ladang-ladang seluruh negara dan umat Islam tidak perlu bimbang kerana haiwan ternakan untuk sembelihan sedia ada masih mencukupi.

"Walaupun pengeluaran daging lembu atau tahap sara diri (SSL) ketika ini sekitar 20 peratus tetapi kami banyak mengimport dari negara lain untuk keperluan dosmetik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan MAFI Prihatin di Simpang Bekoh di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan MAFI Prihatin melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kepada 426 penerima di tujuh lokasi di Jasin pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad berkata, menerusi agihan pada program itu, sebanyak 1.5 metrik tan buah-buahan dan sayur-sayuran seperti pisang Sabah, terung, kobis bulat dan sayur sawi diberikan kepada penerima.

Katanya, sehingga 15 Julai lepas pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA sahaja telah memberi manfaat kepada 23,977 orang yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) di 104 lokasi seluruh negara membabitkan penyaluran makanan sebanyak 41.7 metrik tan.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan kesinambungan program ini yang merupakan inisiatif serampang dua mata di samping membantu petani memasarkan lebihan hasilan pertanian dan dalam masa sana dapat membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19," katanya. - Bernama