Tiada gelang putih, mangsa maut nahas positif Covid-19

Motosikal mangsa rosak selepas melanggar pembahagi jalan.
Motosikal mangsa rosak selepas melanggar pembahagi jalan.
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis mengesahkan lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Raja Uda di sini pada petang Jumaat positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 20 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR 150 dikatakan terbabas sebelum melanggar pembahagi di tengah jalan.

Menurutnya, mangsa yang datang dari arah Jalan Telaga Air ke arah Jalan Permatang Tengah dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Seberang Jaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Noorzainy berkata, tular mengenai kemalangan berkenaan yang kononnya mangsa yang berasal dari Taman Teluk Air Tawar memakai gelang putih ketika berlaku kemalangan.

Beliau berkata, pemeriksaan polis tidak menemui sebarang gelang malah dakwaan mengatakan mangsa adalah individu yang di bawah pemantauan juga tidak benar.

Bagaimanapun katanya, ujian saringan Covid-19 yang dilakukan di Hospital Seberang Jaya mendapati lelaki berkenaan positif virus berkenaan.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tiada penularan berlaku kepada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak sahih agar tidak mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,"katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.