Bekas WKAN perdaya wanita didenda RM5,000

Tertuduh (kanan) di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Jumaat.
Tertuduh (kanan) di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Jumaat.
A
A
A

TAWAU - Seorang bekas Wakil Anak Negeri (WKAN) dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Jumaat selepas mengaku bersalah memperdayakan mangsa kononnya boleh membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan.

Tertuduh, Minur Jimes, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, sekitar Februari 2016, tertuduh telah menipu seorang wanita yang tiada dokumen pengenalan diri di kaki lima Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Sandakan.

Tertuduh mendakwa boleh membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan wanita itu dan adiknya.

Tertuduh dengan sengaja mendorong wanita terbabit menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,200 bagi tujuan itu.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun yang sama.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman sebanyak RM5,000 dan boleh dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: