Korban Covid-19 di Thailand catat rekod tertinggi

Thailand merancang mengehadkan eksport vaksin Covid-19 AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara.
Thailand merancang mengehadkan eksport vaksin Covid-19 AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara.
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatatkan rekod kematian tertinggi dengan 98 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam manakala 9,186 lagi kes baharu Covid-19 dilaporkan.

Setakat ini, Thailand melaporkan 372,215 kes dan 3,032 kematian sejak pandemik bermula Januari tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menyatakan kematian baharu itu melibatkan 61 lelaki dan 37 wanita berusia antara 27 hingga 108 tahun, termasuk 96 warga tempatan dan masing-masing seorang rakyat Myanmar dan Jepun.

Menurut kenyataan itu, Bangkok melaporkan 51 kematian diikuti Samut Prakan (14), Nakhon Pathom (tujuh), Pathum Thani (lima), Nakhon Ratchasima (tiga) dan masing-masing dua di Ubon Ratchathani, Udon Thani, Narathiwat dan Tak.

Daripada 9,186 kes baharu, CCSA berkata 9,164 adalah jangkitan tempatan dan 22 kes import.

Sementara itu, Thailand merancang mengehadkan eksport vaksin Covid-19 AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara memandangkan negara sedang bergelut melawan pandemik sejak April.

Rancangan itu dijangka akan menjejaskan bekalan vaksin ke negara seperti Malaysia dan Indonesia.

Pengarah Institut Vaksin Negara, Nakorn Premsri berkata rancangan mengehadkan kuota eksport vaksin itu secara dasarnya telah dipersetujui pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, AstraZeneca berkata, syarikat berkenaan bekerjasama dengan kerajaan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Thailand untuk memastikan akses vaksin yang adil ke rantau ini kerana vaksin buatan Thailand 'amat penting' kepada negara jiran yang turut berhadapan peningkatan mendadak kes, lapor Reuters.

Pengilang biofarmaseutikal Siam Bioscience Co Ltd mempunyai perjanjian bagi menghasilkan 180 juta dos vaksin AstraZeneca tahun ini dengan 61 juta dos untuk Thailand dan bakinya diedarkan ke negara rantau Asia Tenggara yang telah membuat perjanjian.

Pada Jun, beberapa negara termasuk Taiwan, Malaysia dan Filipina mendakwa lewat menerima vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di Thailand.

AstraZeneca memberikan enam juta dos seperti dijanjikan kepada Thailand pada Jun dan dijangka menyediakan jumlah yang sama pada Julai, kurang daripada sasaran 10 juta dos. - Bernama