PNBBC mahu kerajaan 'bergerak ke hadapan' urus negara

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri diharap dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menambah baik aspek pentadbiran dan penyampaian khidmat kerajaan kepada rakyat.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia perlu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat selain memperbetulkan persepsi mereka bagi memastikan setiap usaha untuk memulihkan negara dari aspek ekonomi dan sosial dapat terus dilaksanakan dengan jayanya.

“Besar harapan kami agar Timbalan Perdana Menteri dapat membantu Perdana Menteri untuk terus memberikan fokus terhadap aspek pentadbiran negara.

“Ia termasuk mempercepatkan proses vaksinasi bagi menjayakan pembentukan imuniti kelompok atau herd immunity serta membela keperluan rakyat di setiap Parlimen dengan mempertingkatkan lagi penyaluran bantuan bakul makanan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam hal itu, katanya, kerajaan perlu bergerak ke hadapan dalam menguruskan negara dan menghadapi segala retorik yang berusaha menggagalkan usaha kerajaan dengan gigih.

Katanya, PNBBC juga menyatakan sokongan terhadap pelantikan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada UMNO selain sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Shahidan berkata, ia memandangkan usaha membawa keluar negara dan rakyat daripada kemelut pandemik Covid-19 ini adalah perjuangan bersama.

“Kami menyeru agar semua pihak dalam UMNO terus menyokong ahli-ahli Parlimen agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan penekanan terhadap usaha meningkatkan vaksinasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama PNBBC juga memohon Timbalan Perdana Menteri supaya menyegera dan memberikan fokus kepada tiga isu utama yang berkait rapat dengan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan, kehakiman dan proses keadilan dalam negara.

Katanya, pertama melibatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk siasatan terhadap isu penjualan aset-aset Tabung haji ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kedua, katanya mempercepatkan proses perbicaraan dan inkues kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim selain menyegerakan penubuhan RCI bagi menyiasat unsur penyelewengan fakta kandungan buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness'. - Bernama