X

Kindly register in order to view this article
!

Pembiayaan politik dan bendera putih

Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A

PAKEJ Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) adalah pakej bantuan kepada rakyat Malaysia yang masih dibelenggu oleh pandemik.

Ramai rakyat menghadapi kesukaran mendesak akibat hilang punca pendapatan dan sebagainya. Walaupun ramai bersungut bahawa suntikan daripada kerajaan hanya RM10 bilion daripada jumlah keseluruhan RM150 bilion yang diumumkan, namun kemudahan dan bantuan diberikan melalui Pemulih boleh memberi ruang pernafasan yang lebih terutama kepada golongan B40 yang kini mungkin telah berkembang menjadi B60.

Elemen menarik dalam Pemulih adalah setiap ahli Parlimen sama ada daripada parti memerintah atau pembangkang diperuntukkan RM300,000 bagi tujuan menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang menderita akibat hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Bagi ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan, geran dan sumbangan serta perbelanjaan pusat khidmat berjumlah RM3.8juta setahun.

Ahli Parlimen seharusnya menggunakan peruntukan itu bagi membantu penduduk di kawasan mereka yang amat mengharapkan bantuan sebagaimana yang dapat dilihat melalui kempen bendera putih.

Peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik boleh dijadikan asas kepada pelaksanaan cadangan berkaitan pembiayaan politik yang telah dikemukakan pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC) pada 2020 dan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada 2017.

Secara realitinya, semua aktiviti politik memerlukan dana. Lazimnya, parti politik mendapat dana daripada kutipan yuran keahlian dan sumbangan daripada penyokong parti.

Pendapatan

Di sesetengah negara, parti politik dibenarkan menjalankan perniagaan sebagai punca pendapatan bagi tujuan politik.

Di Malaysia, parti politik tidak menjalankan perniagaan secara terbuka tetapi banyak syarikat berkait rapat dengan parti politik. Malah, kerajaan sama ada Persekutuan atau negeri mempunyai kepentingan dalam banyak syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan.

Pandemik telah melanda negara lebih setahun. Kerajaan sepatutnya telah dapat menyediakan polisi, mekanisme dan pelaksanaan yang sempurna agar tiada rakyat akan kelaparan.

Peruntukan kepada ahli Parlimen di bawah Pemulih harus digunakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat tanpa sebarang ikatan politik.

Dengan kecanggihan teknologi, ahli Parlimen perlu mempamerkan bagaimana bantuan tersebut dilaksanakan dan peruntukan digunakan. Ia harus telus bagi memastikan tujuan peruntukan tercapai dan bukan digunakan semata-mata untuk tujuan politik dan memancing undi bagi pilihan raya akan datang.

Sebagaimana yang dicadangkan oleh JKNMPP, setiap ahli politik terutama wakil rakyat harus menggunakan hanya satu akaun bagi penerimaan sumbangan politik dan perbelanjaan daripada akaun tersebut harus melalui proses audit bagi memastikan tiada penyelewengan dalam pengurusan kewangan politik.

Pihak kerajaan telah mengemukakan Deraf Rang Undang-undang Derma Politik untuk penelitian Jawatankuasa Khas Rang Undang-undang Parlimen pada September 2019.

Malangnya, jawatankuasa itu dibubarkan apabila kerajaan PN mengambil alih pemerintahan. Status deraf rang undang-undang itu tidak diketahui sehingga hari ini.

Dalam dunia moden di mana wang menjadi salah satu punca utama kepada masalah negara, governans dan tadbir urus yang kemas melalui undang-undang amat diperlukan.

Undang-undang berkaitan pembiayaan politik adalah salah satu ciri utama dalam Corruption Perception Index yang dijalankan secara tahunan oleh Transparency International.

Ahli Parlimen kini sibuk menjalankan tanggungjawab membantu rakyat di lapangan. Sudah pasti rakyat juga amat berharap agar ahli Parlimen dapat menyediakan undang-undang dan polisi agar mereka tidak perlu lagi mengibarkan bendera putih dan mengharapkan ehsan untuk mendapatkan bantuan bagi kelangsungan hidup.

Ahli politik juga sentiasa melaungkan bahawa mereka ingin berkhidmat untuk membantu rakyat. Inilah masa untuk membuktikan bahawa kibaran bendera putih tidak perlu.

Setiap kali bendera putih dikibarkan, banyak air mata yang mengalir. Janganlah dibiarkan kedaifan menjadikan manusia kufur sehingga hilang pegangan agama.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!