Misi korporat kirim bantuan dari Kuala Lumpur

Muhamad Huzaifah (kanan) menyampaikan pek makanan kepada penerima di seluruh Kelantan.
Muhamad Huzaifah (kanan) menyampaikan pek makanan kepada penerima di seluruh Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 10 golongan korporat dalam kalangan anak tempatan negeri ini yang bekerja di Kuala Lumpur mengirimkan bantuan 1,000 pek makanan bagi membantu golongan terjejas Covid-19 termasuk asnaf, anak yatim dan ibu tunggal di Kelantan.

Sumbangan diagihkan menerusi Misi Bantuan Masih Ada Yang Sayang bermula awal Mei lalu.

Ketua Misi Bantuan Masih Ada Yang Sayang, Muhamad Huzaifah Abdul Halim berkata, agihan merangkumi lokasi secara menyeluruh termasuk kawasan pedalaman di Kuala Krai.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Pembangunan Insan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKBBri) berkata, agihan itu adalah salah satu program bantuan kemanusiaan sempena Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

“Bantuan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, mi segera, minyak dan bihun.

“Setakat ini, sebanyak 800 pek sudahpun diedarkan merangkumi kawasan termasuk Kota Bharu, Tumpat, Kuala Krai dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Selasa.

Beliau berkata, program mendapat kerjasama daripada penghulu di setiap kampung yang membantu menyerahkan kepada penerima

“Penerima terlibat antaranya dalam kategori asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, bantuan juga diberikan kepada golongan yang terjejas kerana tidak bekerja pada tempoh pandemik,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menyumbangkan 80 kotak air mineral kepada penduduk di Kampung Pulau Tukang Dollah yang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.

“Sumbangan ini adalah hasil kutipan daripada orang ramai terdiri ahli korporat yang berada di luar Kelantan.

“Misi seterusnya bantuan akan diagihkan lagi ke daerah Tumpat dan Bachok serta diperluaskan ke kawasan lain bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.