X

Kindly register in order to view this article
!

Pantai negara makin terancam

Gambar hiasan
A
A
ZON pesisir pantai merupakan kawasan yang mempunyai populasi yang padat, kegiatan ekonomi yang aktif, ekosistem dan infrastruktur yang penting serta tinggi kepelbagaian biologi.

Namun, kira-kira 2,610 kilometer atau 30 peratus daripada 8,700 kilometer pantai di seluruh negara dikategorikan sebagai kritikal berikutan ancaman hakisan, terutamanya pada musim tengkujuh.

Ini termasuklah 44 kawasan pantai termasuk pulau yang dikenal pasti berlaku hakisan kritikal.

Hakikatnya, masalah hakisan dan kesan perubahan iklim membawa bersamanya pelbagai impak terhadap kawasan pinggir pantai.

Menjelang tahun 2100, beberapa bandar utama di pesisir pantai negara dijangka tenggelam akibat kenaikan aras laut sehingga lebih satu meter, jika langkah mengurangkan risiko hakisan serta kawalan ketat setiap aktiviti pembangunan di zon pantai tidak dimulakan mulai sekarang.

Ini berikutan pembangunan di zon pantai seperti penambahan infrastruktur dan pembangunan tanpa mengira kesan jangka panjang didapati sedang rancak berjalan di seluruh negara.

Dapatan ini sejajar dengan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), yang mengenal pasti pesisiran pantai Semenanjung Malaysia akan mengalami kenaikan aras laut antara 0.25 meter hingga 0.52 meter pada tahun 2100.

Rentetan itu menjelang tahun 2100 kawasan pesisir pantai Malaysia akan ditenggelami antara 0.2 meter sehingga 1.06 meter secara kekal, sekali gus negara bakal kehilangan tanah dalam jumlah yang besar sehingga ribuan hektar sekiranya tiada sebarang langkah pencegahan diambil.

Selain empat negeri iaitu Kelantan, Johor, Pahang dan Melaka, dua negeri yang turut kritikal mengalami hakisan adalah Terengganu dan Sarawak.

Kawasan pinggir pantai empat negeri iaitu Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan misalnya berkurangan sehingga empat meter setahun, akibat hakisan teruk kesan tindakan ombak secara berterusan sejak 1980-an, sehingga ada penempatan penduduk musnah sepenuhnya dan terpaksa berpindah.

Perubahan

Sebahagian kawasan itu juga dikesan masih pada tahap kritikal kerana kehilangan tiga hingga empat meter daratan dalam tempoh setahun dikaitkan dengan bentuk muka bumi yang terdedah kepada lautan luas dan tiupan angin monsun yang menyebabkan ombak besar dan bertambah genting apabila pembangunan dikatakan dilaksanakan tanpa perancangan rapi.

Beberapa projek seperti tebus guna tanah dan penahan ombak konkrit turut menjadi penyumbang utama punca kehilangan dataran di lokasi berhampiran.

Permasalahan ini semakin meruncing apabila impak perubahan iklim, terutamanya kenaikan paras air laut turut mengancam habitat dan komuniti pesisir pantai.

Kesan peningkatan aras laut ini menyebabkan perubahan dinamik pantai yang mana akan berlaku perubahan kepada kelajuan arus, ketinggian ombak dan pasang surut yang akan mengangkut sedimen di sepanjang pesisir yang boleh menyebabkan hakisan.

Impak hakisan pantai oleh kenaikan aras laut adalah pada skala kecil dan jangka panjang berbanding akibat aktiviti pembangunan di kawasan zon pantai yang tidak terkawal.

Antara impak utama kenaikan paras air laut terhadap sistem semula jadi di kawasan pesisir pantai adalah;

(i) pembanjiran pantai;

(ii) perubahan tanah bencah;

(iii) hakisan;

(iv) perejahan air masin terhadap air permukaan dan air bawah tanah; dan

(v) peningkatan aras muka air tanah.

Impak fizikal ini kemudiannya akan menjejaskan pelbagai sektor sosioekonomi secara langsung dan tidak langsung seperti sumber air bersih, pertanian dan perhutanan, perikanan dan akuakultur, kesihatan, rekreasi dan pelancongan, biodiversiti, serta penempatan dan infrastruktur di zon pesisir pantai.

Maka, usaha mengurangkan kesan hakisan pantai perlu dilaksanakan secara terancang dan bersepadu.

Jika tidak segala perbelanjaan besar mencecah berbilion ringgit akan menjadi sia-sia kerana ombak laut akan terus membadai dan menghakis setiap sentimeter pantai.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!