Suhakam kecam kenyataan Nazri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam tindakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mempersoalkan pelantikan ketua hakim, peguam negara dan menteri kewangan yang bukan berbangsa Melayu.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, dakwaan itu jelas bertujuan mencetuskan kebencian perkauman dan perasaan tidak puas hati bagi tujuan meraih kemenangan pada PRK Dun Semenyih.

"Tiada sebarang undang-undang yang menentukan bahawa jawatan berkenaan perlu diisi dalam kalangan orang Melayu.

"Ia tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan kerajaan untuk melantik sesiapa yang terbaik dalam melaksanakan peranan demi rakyat Malaysia dan bukan kepada bangsa Melayu sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ucapan saya disalahtafsir: Nazri

Menurut beliau, pandangan lapuk melibatkan perkauman tidak boleh ditolak ansur dalam era Malaysia Baharu yang mengambil kira aspek kecekapan sebagai faktor utama pelantikan.

"Suhakam mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sebagai tindakan afirmatif seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, perlindungan terhadap kedudukan itu tidak bertentangan dengan pelantikan bukan Melayu dalam jawatan-jawatan tersebut," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dakwaan Nazri bahawa kematian anggota bomba, Muhamad Adib Mohd Kassim, tidak mendapat pembelaan memandangkan peguam negara bukan orang Melayu juga disifatkan melampau.

"Peguam Negara, Tommy Thomas telah mengarahkan inkues kematian Adib dijalankan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Prosedur Jenayah dan telah menolak usul sementara untuk menangguhkan inkues tersebut menunggu pendengaran pada 4 Mac kerana kematian Adib melibatkan kepentingan awam.

"Hukuman hanya boleh dijatuhkan setelah semua proses perundangan lengkap," ujarnya.