Penumpang berebut keluar selamatkan diri

FOTO: Ehsan Ferry Line Venture Sdn Bhd
FOTO: Ehsan Ferry Line Venture Sdn Bhd
A
A
A

LANGKAWI - "Kira-kira 10 minit selepas berlepas, feri berhenti di tengah laut kemudian kami nampak asap dari bahagian enjin mula memasuki ruangan penumpang".

Itu perkongsian Nor Atiqah Norman Shah, penumpang yang berasal dari Melaka yang terselamat selepas feri yang membawa penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju Kuala Perlis terbakar dalam satu kejadian petang ini.

Beliau berkata, penumpang kemudian nampak tiga kru berlari dari arah bahagian enjin naik berjumpa kapten feri tersebut.

"Tiga kali saya tanya dengan tiga kru feri kenapa bahagian enjin berasap, tapi tidak dilayan dan mereka berlalu pergi begitu sahaja"

"Kemudian tempat duduk penumpang di bahagian kiri berhampiran bilik enjin mula terbakar.

"Bahagian penumpang kemudian dipenuhi asap waktu itu baru kami semua diarahkan ke depan untuk keluar dari feri itu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Feri penumpang di Langkawi tiba-tiba terbakar

Nor Atiqah berkata, beliau bersama lapan anggota keluarganya bersama penumpang lain kemudian berebut keluar untuk menyelamatkan diri.

"Ada yang sempat pakai life jacket (jaket keselamatan), ada juga yang tidak. Kami kemudian diselamatkan dengan dipindahkan ke dalam dua buah bot nelayan dan sebuah bot pelancong yang datang membantu," katanya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Gelang Patah, Johor.

Artikel Berkaitan:

Nor Atiqah berkata, mereka sekeluarga yang bercuti sejak Sabtu, kehilangan semua beg akibat terbakar serta barangan yang dibeli sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, Suhidah Suib berkata, kejadian berlaku sangat pantas hingga menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang.

"Sebaik feri bergerak, kami sudah dapat hidu bau minyak. Kemudian feri berhenti dan kelihatan seakan mahu berpatah balik ke Terminal Kuah.

"Kemudian asap tebal diikuti api marak di bahagian belakang feri. Kami diarahkan keluar, saya langsung tak tak ingat apa-apa, sedar dah ada dalam sebuah bot nelayan.

"Masa di dalam bot itu, feri sudah hangus terbakar dan kami dengar bunyi letupan," kata Suhidah yang kelihatan masih trauma dengan kejadian itu.

Tinjauan di Terminal Feri Kuah mendapati pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kesihatan Daerah serta Pejabat Parlimen Langkawi tampil membantu semua mangsa.

Mangsa turut diberikan makanan dan minuman yang disediakan oleh beberapa buah hotel dengan rata-rata mangsa kelihatan trauma dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bencana dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Leftenan Azamshah Aperal berkata, 49 mangsa telah pulang ke Kuala Kedah menggunakan feri jam 6 petang.

"Dua orang mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Maliha," katanya.- Bernama