Program Selvax berjaya sempurnakan 44,000 proses vaksinasi

Program Vaksin Selangor (Selvax) berjaya menyempurnakan sebanyak 44,000 proses vaksinasi di negeri ini dengan lebih 32,000 orang melibatkan Selvax Industri dan sekitar 11,000 orang dalam program Selvax Komuniti. - Foto fail Sinar Harian
Program Vaksin Selangor (Selvax) berjaya menyempurnakan sebanyak 44,000 proses vaksinasi di negeri ini dengan lebih 32,000 orang melibatkan Selvax Industri dan sekitar 11,000 orang dalam program Selvax Komuniti. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

BANGI - Program Vaksin Selangor (Selvax) berjaya menyempurnakan sebanyak 44,000 proses vaksinasi di negeri ini dengan lebih 32,000 orang melibatkan Selvax Industri dan sekitar 11,000 orang dalam program Selvax Komuniti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun pergerakan Selvax Komuniti tampak perlahan, namun ia bergerak mengikut jadual dan nisbah yang ditetapkan untuk program tersebut.

Menurutnya, program Selvax Komuniti bergerak mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan anggarkan seramai 1,000 orang yang mendaftar di setiap DUN dan proses vaksinasi dilaksanakan secara berperingkat.

"Kami membeli vaksin sebanyak 2.5 juta dos, jadi 500,000 dos untuk Selvax Komuniti yang meliputi 20 peratus, manakala selebihnya ialah kuota untuk Selvax Industri.

"Apa yang penting ialah perancangan di pihak Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) untuk program Selvax dan kami tidak boleh menghabiskan semua dos vaksin secara terburu-buru kerana ia perlu disimpan untuk suntikan kedua dos vaksin.

"Oleh itu, pelan pelaksanaan tersebut masih dalam perancangan dan ia akan dikoordinasi oleh saya dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin," katanya ketika melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang melakukan penyusunan dan penyelarasan data serta carta aliran akan dibina secara harian untuk mempermudahkan pemberian nama penerima vaksin.

Ujarnya, perkara tersebut adalah penting supaya tidak berlaku pertindihan data yang boleh menyebabkan kekacauan dalam sistem.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai PKPD Pangsapuri Sri Ayu, Amirudin berkata, sebanyak 118 kes Covid-19 di lokaliti tersebut dikesan melalui ujian saringan yang dibuat melibatkan 2,332 orang yang tinggal di sini.

Katanya, proses vaksinasi di sini untuk 1,000 orang dimulakan pada Sabtu dan akan disambung pada Ahad dengan jumlah yang sama serta dijangka tamat dalam masa dua hari.