X

Kindly register in order to view this article
!

Sisa rawatan kelapa sawit punca Sungai Pukin tercemar

Ahmad Nasim (dua dari kanan) bersama Samsiah (kanan) dan Razali (tiga, kanan) meninjau keadaan kolam rawatan sisa sawit di sebuah kilang kelapa sawit dipercayai mengakibatkan menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Pukin, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

ROMPIN - Sisa rawatan kelapa sawit dari sebuah kilang di Ulu Keratong dekat sini dipercayai menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Pukin, di sini.

Pegawai Daerah Rompin Ahmad Nasim Mohd Sidek berkata, kejadian berpunca daripada tebing satu daripada kolam rawatan sisa sawit yang disedari runtuh pada Selasa, menyebabkan sisa itu mengalir ke alur sungai.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengarahkan pihak kilang menghentikan operasi serta-merta, malah tindakan membaik pulih tebing itu telah dilakukan pada hari yang sama.

"Kita menerima aduan daripada penduduk setempat sungai berkenaan mula berbau sebelum JAS dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melakukan pemeriksaan dan mendapati ia berpunca daripada kilang berkenaan.

"Pencemaran itu dimaklumkan berlaku kira-kira 20 kilometer (km) bagaimanapun keadaan mula baik apabila kualiti air hampir 5km dari alur sungai mula kembali normal," katanya kepada pemberita selepas menerima taklimat daripada JAS dan meninjau lokasi kejadian di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim dan ADUN Bukit Ibam, Datin Samsiah Arshad.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian berkenaan turut menyebabkan lebih 11,000 pemilik akaun PAIP menghadapi gangguan bekalan air.

"Saya dimaklumkan PAIP dan pihak kilang telah menghantar bekalan air bersih kepada pengguna yang terjejas dan kita jangkakan perkara ini akan pulih dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Nasim berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai dengan tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang terlibat.

"Denda maksimum boleh dikenakan kepada mereka setelah keputusan hasil siasatan menyeluruh selesai kelak dan kami akan mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan rundingan dengan kilang-kilang lain di kawasan ini supaya insiden yang sama tidak berulang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!